
KOHAT, Pakistan, 19 September — Sekurang-kurangnya 31 orang, termasuk 16 anggota polis, terbunuh dalam serangan letupan dan bersenjata di kompleks ibu pejabat polis di Kohat, Pakistan, semalam.
- Lebih 100 orang cedera dalam serangan, kebanyakan mangsa anggota polis, beberapa dalam keadaan kritikal.
- Beberapa ahli kumpulan bersenjata masih berlindung di Cawangan Khas dan berlaku pertempuran dengan pasukan keselamatan.
- Kumpulan Tehreek-e-Taliban Pakistan mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.
Lebih 100 orang turut cedera dalam serangan di kompleks Old Police Lines, wilayah Khyber Pakhtunkhwa.
Seorang pegawai kanan polis berkata beberapa ahli kumpulan bersenjata masih berlindung di bahagian Cawangan Khas dan pertempuran dengan pasukan keselamatan masih berlaku.
“Sekurang-kurangnya 31 orang, termasuk 16 anggota polis, terbunuh dan lebih 100 cedera setakat ini,” katanya kepada AFP.
Pegawai kesihatan daerah Kohat berkata kebanyakan mangsa yang cedera adalah anggota polis dan beberapa daripadanya dalam keadaan kritikal.
Kumpulan Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP) mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.
Kompleks berkenaan menempatkan ibu pejabat polis daerah serta Jabatan Antikeganasan (CTD), Cawangan Khas dan beberapa unit polis lain.
Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif mengutuk serangan itu dan mengarahkan mangsa yang cedera menerima rawatan terbaik.
Presiden Asif Ali Zardari turut menyatakan kesedihan terhadap kehilangan nyawa dan mendoakan mangsa yang cedera segera pulih. – AFP