Bank Pusat Jepun naikkan kadar faedah kepada 1.25 peratus

Ibu pejabat Bank Pusat Jepun (BoJ)/ AFP

TOKYO, 18 September – Bank Pusat Jepun (BoJ) pada Jumaat menaikkan kadar faedah kepada 1.25 peratus, paras tertinggi dalam tempoh lebih 30 tahun, dan memberi isyarat kenaikan selanjutnya bagi menangani inflasi yang didorong peningkatan harga tenaga serta kejatuhan nilai yen.

RINGKASAN BERITA AI
  • BoJ isyaratkan kenaikan kadar lanjut kerana IHP asas menghampiri dua peratus dan keadaan kewangan kekal akomodatif.
  • Keputusan menaikkan kadar diluluskan melalui undian majoriti 7-2.
  • Lonjakan harga minyak dan kejatuhan yen memicu tekanan inflasi serta campur tangan bersama AS dan Jepun di pasaran pertukaran asing.

Kenaikan itu dijangka pasaran susulan langkah mengetatkan dasar monetari yang sebelum ini diambil Bank Pusat Eropah dan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS).

BoJ menerusi laman sesawangnya memaklumkan keputusan menaikkan kadar faedah utama sebanyak 25 mata asas itu diluluskan menerusi undian majoriti 7-2.

Tekanan terhadap pegawai bank pusat untuk menaikkan kos pinjaman turut meningkat susulan lonjakan harga minyak akibat krisis di Asia Barat, yang dijangka terus memberi tekanan terhadap inflasi.

Pada masa sama, bank pusat berhasrat menyokong nilai yen yang pada Julai susut ke paras terendah berbanding dolar AS dalam tempoh 40 tahun.

Keadaan itu mendorong AS dan Jepun melaksanakan campur tangan bersama dalam pasaran pertukaran asing, langkah yang bersejarah bagi kedua-dua negara.

“Berhubung hala tuju dasar monetari pada masa depan, memandangkan inflasi Indeks Harga Pengguna (IHP) asas menghampiri dua peratus dan keadaan kewangan kekal akomodatif, bank akan terus menaikkan kadar faedah dasar,” menurut BoJ.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.