DBKL rancang bangunkan hampir 49 hektar ruang rekreasi baharu

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 17 September – Hampir 49 hektar ruang rekreasi baharu bakal dibangunkan di Kuala Lumpur, dalam usaha memperluas akses riadah serta memastikan kawasan hijau terus dilindungi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perancangan membuka dan menaik taraf beberapa lokasi sebagai ruang rekreasi awam serta mewartakan kawasan lapang dan hijau bernilai tinggi untuk dilindungi.
  • Lokasi dikenalpasti termasuk rizab JPS Sungai Bunus dan Taman Kejiranan Kolam Ayer Panas; Bandar Tun Razak dirancang taman baharu.
  • Kira-kira 25.6 hektar di Kolam Takungan Kampung Sungai Bohol dirancang rekreasi melalui penglibatan pihak swasta dan trek joging lapan kilometer.
  • PPTGWP telah mewartakan 556 lot, lebih 200 lagi dalam proses; DBKL peruntuk lebih RM200 juta dan mohon RM7 juta untuk naik taraf 20 taman.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, perancangan itu melibatkan beberapa lokasi berpotensi untuk dibuka dan dinaik taraf sebagai ruang rekreasi awam.

“Matlamat utama kita di bawah inisiatif ini bukan sekadar mewujudkan ruang rekreasi baharu, tetapi memastikan setiap kawasan lapang dan hijau yang bernilai tinggi di Kuala Lumpur diwartakan secara sah untuk dilindungi,” katanya.

Antara kawasan yang dikenal pasti termasuk rizab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Sungai Bunus serta Taman Kejiranan Kolam Ayer Panas.

Di Bandar Tun Razak, kawasan kolam bersebelahan Jalan Tasik Permaisuri 3 seluas kira-kira 4.6 hektar pula dirancang untuk pembangunan taman baharu.

Beliau ditemui selepas meninjau Kolam Takungan Banjir Bunus di sini, hari ini.

Sementara itu, kira-kira 25.6 hektar di Kolam Takungan Kampung Sungai Bohol dirancang sebagai kawasan rekreasi menerusi penglibatan pihak swasta.

Perancangan itu turut merangkumi trek joging dan laluan pejalan kaki sepanjang kira-kira lapan kilometer untuk kegunaan komuniti.

“Kawasan berkenaan sesuai dibangunkan sebagai ruang rekreasi tambahan kerana sudah mempunyai trek joging sedia ada, selain kemudahan lampu dan kerja pembersihan dapat dipertingkatkan dengan peruntukan tambahan.

“Kerjasama antara agensi perlu diperluas bagi mewujudkan lebih banyak kawasan rekreasi, sekali gus melindungi ruang hijau di Kuala Lumpur yang semakin berdepan pembangunan serta menyediakan lebih banyak ruang untuk warga kota beriadah, katanya lagi.

Hannah berkata, menerusi usaha berterusan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWP), sebanyak 556 lot kawasan lapang kini telah diwartakan, manakala lebih 200 lot lagi dalam fasa pemprosesan akhir pewartaan.

Katanya, warga kota boleh menyemak senarai kawasan lapang yang telah diwartakan menerusi MyHijau di portal rasmi Pejabat Pengarah Tanah dan Galian WP.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, DBKL memperuntuk lebih RM200 juta di bawah Belanjawan 2027 bagi kluster hijau merangkumi pengurusan, pemeliharaan dan penambahbaikan fasiliti awam.

“DBKL sedang memohon peruntukan padanan daripada Kementerian Kewangan (MOF) sebanyak kira-kira RM7 juta bagi menaik taraf lebih 20 taman kanak-kanak di kawasan kejiranan.

“Inisiatif itu bertujuan mereformasikan kemudahan taman kanak-kanak dengan reka bentuk lebih baharu dan bersesuaian dengan keperluan generasi Z,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.