Nelayan akhirnya miliki rumah sendiri selepas 25 tahun menyewa

Zulkifli Che Hasin (kiri) dan Mansor Man menerima rumah baharu hari ini menerusi Projek Khas Perumahan Nelayan yang dilaksanakan LKIM./ RTM

LANGKAWI, 17 September – Selepas 25 tahun hidup menyewa, seorang nelayan di Langkawi akhirnya menarik nafas lega apabila menerima rumah sendiri menerusi Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) yang dilaksanakan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

RINGKASAN BERITA AI
  • Penerima rumah, termasuk Zulkifli dan Mansor, menyatakan kesyukuran dan penghargaan atas bantuan kediaman baharu.
  • LKIM memperuntukkan RM408,000 untuk bina baharu dan baik pulih PKPN di Kedah, melibatkan 14 rumah.
  • RM508,000 diperuntukkan untuk kemudahan komuniti Langkawi, termasuk RM100,000 naik taraf Motel PNK dan RM168,000 bina dua rumah.

Zulkifli Che Hasin, 55, antara dua penerima rumah baharu menerusi program berkenaan yang diserahkan pada program penyerahan PKPN di Kubang Badah dan Kampung Syed Nahar, Langkawi, hari ini.

Beliau melahirkan rasa syukur kerana selepas bertahun-tahun menyewa, akhirnya berpeluang memiliki kediaman sendiri.

“Alhamdulillah, saya dapat rumah ini. Saya berterima kasih kerana selama 25 tahun saya menyewa rumah. Saya sangat menghargai LKIM kerana memberi saya peluang mendapat rumah bantuan ini,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penerima, Mansor Man, 73, turut bersyukur menerima rumah baharu bagi menggantikan rumah pusaka yang sudah uzur untuk didiami.

“Saya berterima kasih kerana mendapat rumah yang LKIM berikan kepada saya. Saya sangat menghargai bantuan ini dan terima kasih banyak-banyak,” katanya.

Ketua Pengarah LKIM, Datuk Dr. Abdul Salim Tajudin berkata, kerajaan terus memberi perhatian terhadap kebajikan komuniti nelayan menerusi penyediaan kediaman yang lebih selesa, selamat dan kondusif.

Beliau berkata, sebanyak RM408,000 diperuntukkan bagi pelaksanaan bina baharu dan baik pulih PKPN di seluruh Kedah tahun ini, melibatkan 14 buah rumah.

Katanya, pelaksanaan PKPN bukan sahaja membantu menyediakan kediaman yang lebih baik kepada golongan nelayan, malah menjadi antara usaha memperkukuh kesejahteraan komuniti berkenaan.

Dalam pada itu, kira-kira RM508,000 turut diperuntukkan LKIM tahun ini bagi kemudahan berkaitan komuniti nelayan di Langkawi.

Daripada jumlah tersebut, RM100,000 diperuntukkan bagi menaik taraf Motel PNK Langkawi, manakala RM168,000 lagi bagi pembinaan dua buah rumah baharu.

Beliau berkata, usaha berkenaan akan terus dilaksanakan bagi memastikan komuniti nelayan di Langkawi dan seluruh Kedah mendapat manfaat daripada kemudahan serta bantuan yang disediakan kerajaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.