Trump ugut EU berhubung cadangan jadikan Kanada ahli bersekutu

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump/ AFP

WASHINGTON, 17 September – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengancam untuk memutuskan hubungan perdagangan dengan Kesatuan Eropah (EU), sekiranya blok itu menjalin hubungan lebih rapat dengan Kanada.

RINGKASAN BERITA AI
  • EU mencadangkan Kanada menjadi negara pertama menyertai blok itu sebagai anggota bersekutu.
  • Ursula von der Leyen mengemukakan cadangan itu sehari sebelum Mark Carney berucap di Parlimen Eropah.
  • Cadangan dibuat untuk mengurangkan kebergantungan EU dan Kanada terhadap Amerika Syarikat.
  • Von der Leyen mencadangkan kerjasama lebih erat dalam teknologi, pertahanan dan tenaga.

Ancaman itu dibuat pada Rabu selepas EU mencadangkan Kanada menjadi negara pertama menyertai blok berkenaan sebagai anggota bersekutu.

Ketua EU, Ursula von der Leyen, mengemukakan cadangan itu sehari sebelum Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, dijadual berucap di Parlimen Eropah.

Cadangan berkenaan dibuat ketika Kanada dan EU masing-masing berusaha mengurangkan kebergantungan terhadap Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Trump.

“Saya fikir ia sesuatu yang menggelikan,” kata Trump kepada pemberita ketika ditanya mengenai rancangan itu.

Trump memberi amaran bahawa sekiranya langkah berkenaan dianggap sebagai tindakan bermusuhan, Washington akan mengenakan tarif yang sangat tinggi atau menghentikan perdagangan dengan Eropah bagi pelbagai barangan.

“Jika ia dibuat dengan niat yang baik, tidak mengapa. Tetapi jika niatnya tidak baik, kami akan mengenakan tarif yang sangat tinggi ke atas Eropah, dan itu adalah satu kemungkinan,” katanya.

Terdahulu di Strasbourg, Perancis, Von der Leyen telah mencadangkan kerjasama lebih erat antara EU dan Kanada dalam bidang teknologi, pertahanan serta tenaga.

Kehadiran Mark Carney itu sekali gus melakar sejarah sebagai ketua kerajaan bukan Eropah pertama yang menghadiri ucapan tahunan mengenai “Keadaan Kesatuan Eropah” di Parlimen Eropah.

“Saya mahu bekerjasama dengan anda untuk membuka pintu kepada Kanada menjadi anggota bersekutu pertama EU,” katanya kepada Carney.

Cadangan itu mendapat tepukan gemuruh daripada anggota Parlimen Eropah yang hadir.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.