Kebakaran hutan di Taman Desaminium kembali berulang

Unit dron turut digunakan bagi membantu pemantauan di lokasi

SERDANG, 17 September – Kebakaran hutan di kawasan bukit dekat Jalan Rimba, Taman Desaminium, di sini yang berjaya dipadamkan petang semalam, kembali berlaku malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kebakaran kedua melibatkan kawasan seluas kira-kira 0.09 hektar.
  • Anggota bomba giat memadam dan mengawal bagi mengelakkan kebakaran merebak ke kawasan kediaman berhampiran.
  • Operasi malam sukar kerana tiada laluan masuk ke lokasi dan keadaan gelap.
  • Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, kebakaran kali kedua itu melibatkan kawasan berkeluasan kira-kira 0.09 hektar.

“Operasi pemadaman serta kawalan giat dijalankan anggota bomba bertujuan memastikan kebakaran tidak merebak ke kawasan kediaman berhampiran.

“Operasi pada waktu malam berdepan kesukaran berikutan tiada laluan masuk ke lokasi, selain keadaan gelap.

“Unit dron turut digunakan bagi membantu pemantauan di lokasi,”menurut kenyataan.

Sebelum itu, kebakaran dilaporkan berlaku pada kira-kira pukul 3.03 petang semalam, membabitkan kawasan hutan di puncak bukit seluas kira-kira dua ekar dan berjaya dipadamkan pada pukul 6.30 petang.

Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.