Jerebu: 1,418 tindakan penguatkuasaan, pemantauan dilaksana JAS

Situasi jerebu di Johan Setia / Foto Fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 September – Sebanyak 1,418 tindakan penguatkuasaan dan pemantauan dilaksanakan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di seluruh negara sepanjang situasi jerebu dari 3 Ogos hingga 13 September lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • JAS terus menguatkuasakan dan memantau bagi mengesan, mencegah serta mengambil tindakan terhadap pembakaran terbuka dan punca pencemaran udara.
  • Pemeriksaan diperkukuh di kawasan berisiko seperti pertanian, tanah gambut, ladang dan tapak pelupusan sampah; tindakan susulan diambil jika kesalahan dikesan.
  • Di Sarawak, JAS tumpu kebakaran tanah gambut dan tapak pelupusan; guna dron dan terus pantau IPU, titik panas serta jerebu rentas sempadan.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JAS, Azuri Azizah Saedon berkata, tindakan itu merangkumi 978 aktiviti pemantauan, 83 arahan di lapangan dan 31 Notis Arahan.

Sebanyak 305 kes turut dirujuk kepada agensi lain untuk tindakan lanjut, selain 11 kompaun ditawarkan dan 10 carian hak milik tanah dilaksanakan bagi membantu proses siasatan serta tindakan mahkamah.

“Langkah ini menunjukkan komitmen berterusan JAS dalam mengesan, mencegah dan mengambil tindakan terhadap aktiviti pembakaran terbuka serta punca-punca pencemaran yang berpotensi menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara sepanjang situasi jerebu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

JAS pada masa sama terus memperkukuh pemeriksaan dan rondaan di kawasan berisiko termasuk kawasan pertanian, tanah gambut, ladang, tapak pelupusan sampah serta lokasi yang berpotensi berlaku pembakaran terbuka.

Tindakan susulan akan diambil sekiranya kesalahan dikenal pasti berdasarkan hasil pemeriksaan, siasatan dan bukti yang diperoleh di lapangan.

Di Sarawak, JAS turut memberi perhatian khusus terhadap kebakaran di kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah susulan risiko lebih tinggi dalam keadaan cuaca panas dan kering.

Kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Selalang, Sarikei melibatkan kawasan seluas 1.5 hektar, dengan kira-kira 1.3 hektar atau 87 peratus berjaya dipadamkan setakat hari ini.

JAS Sarawak akan meneruskan pemantauan di lokasi berkenaan termasuk menggunakan dron bagi menilai perkembangan kebakaran dan keluasan kawasan terjejas.

Pemantauan IPU, titik panas serta perkembangan jerebu rentas sempadan juga akan diteruskan selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK).

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, sebanyak 240 titik panas dikesan di Kalimantan, 355 di Sumatera dan satu titik panas di Malaysia iaitu di Sabah, semalam.

Data tersebut diperoleh berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC).

ASMC turut melaporkan jerebu rentas sempadan sederhana hingga tebal dikesan di Kalimantan, Sumatera, Semenanjung Malaysia, Singapura serta bahagian selatan Vietnam dan Kemboja.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.