
SEPANG, 16 September – Momentum kejayaan di beberapa kejohanan terdahulu menjadi suntikan semangat buat skuad eFootball negara dalam misi memburu pingat pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun.
- Dua pemain muda dipilih wakili negara: Muhammad Hariz (konsol) dan Farish Luzman (peranti mudah alih) untuk eFootball Sukan Asia.
- Kejayaan Hariz juara Malaysia Cup 2026 dan latihan intensif tingkatkan keyakinan, sasaran membawa pulang pingat.
- Farish naib juara Kejuaraan eFootball Kelab Manchester United 2026 jadikan motivasi, namun akui cabaran terkuat datang dari tuan rumah Jepun.
- Saingan di Aichi Sky Expo, 23 Sept hingga 2 Okt 2026; Malaysia sertai sembilan judul termasuk PUBG Mobile, MLBB, Gran Turismo, League of Legends, eFootball.
Dua pemain muda akan membawa misi negara dalam acara itu iaitu Muhammad Hariz Hazmi Hakimin bagi kategori konsol dan Farish Luzman Muhammad Farid Sellekumar bagi kategori peranti mudah alih.
Muhammad Hariz berkata, kejayaan muncul juara Malaysia Cup 2026 pada April lalu, ditambah latihan intensif bersama skuad esukan negara meningkatkan keyakinannya untuk memberikan saingan terbaik di Jepun.
“Sasaran untuk Sukan Asia kali ini, dengan persediaan yang telah kami lakukan serta prestasi semasa, insya-Allah saya yakin kami mampu membawa pulang pingat,” katanya.
Bagi Farish Luzman pula, pencapaian sebagai naib juara Kejuaraan eFootball Kelab Manchester United 2026 menjadi pembakar semangat untuk meneruskan momentum positif di pentas lebih besar.
Namun, beliau mengakui cabaran tetap sengit, khususnya apabila berdepan Jepun selaku tuan rumah yang mempunyai kelebihan dalam format pertandingan.
“Bagi saya, pencabar yang paling sukar setakat ini ialah Jepun. Ini kerana mereka merupakan tuan rumah dan peraturan yang ditetapkan juga mengikut mod yang menjadi kekuatan mereka.
“Namun, kami percaya jurang antara kami dengan negara-negara yang memberi saingan tidaklah terlalu besar dan kami yakin kami juga mampu memberikan saingan kepada mereka, insya-Allah,” katanya.
Saingan esukan dijadual berlangsung di Aichi Sky Expo dari 23 September hingga 2 Oktober 2026.
Secara keseluruhan, Malaysia akan mengambil bahagian dalam sembilan judul permainan esukan di Aichi-Nagoya 2026 termasuk PUBG Mobile, Mobile Legends: Bang Bang, Honor of Kings, eRacing Gran Turismo 7, League of Legends dan eFootball.