Kerjasama strategik pacu akses kepimpinan, pendidikan sukan OKU

Foto ShekhinahPR

KUALA LUMPUR, 16 September – Usaha memperkasa bola sepak inklusif di Asia memasuki fasa baharu menerusi kerjasama strategik yang bakal memperluas pelaksanaan program pembangunan kepimpinan, pendidikan dan penyertaan golongan orang kurang upaya (OKU) dalam ekosistem bola sepak.

RINGKASAN BERITA AI
  • ShekhinahPR memeterai kerjasama dengan Integrated Dreams untuk mengurus dan menerajui pelaksanaan program inklusif di seluruh Asia.
  • Program dirancang di Malaysia, Thailand dan Indonesia 2027 fokus pembangunan kepimpinan, pembinaan kapasiti dan bola sepak inklusif.
  • Kerjasama susulan kejayaan FFALP Kuala Lumpur 2025, disokong FIFA Foundation dengan 40 peserta OKU, menjadi asas inisiatif Asia Tenggara.

Kerjasama antara ShekhinahPR dari Malaysia dan Integrated Dreams organisasi berpangkalan di Portugal dimeterai sempena World Football Summit Madrid 2026.

ShekhinahPR dalam satu kenyataan menjelaskan menerusi kerjasama itu agensi berkenaan akan mengurus dan menerajui pelaksanaan program Integrated Dreams di seluruh Asia, khususnya membabitkan keterangkuman golongan itu, pembangunan bola sepak dan kepimpinan.

“Beberapa program dirancang di Malaysia, Thailand dan Indonesia pada 2027 termasuk pembangunan kepimpinan, pembinaan kapasiti serta inisiatif bola sepak inklusif bagi membuka lebih banyak peluang kepada individu OKU untuk menyertai dan memegang peranan kepimpinan dalam industri sukan,” menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Christopher Raj menyifatkan kerjasama itu memberi peluang untuk memperluas usaha menjadikan bola sepak lebih inklusif dan mudah diakses semua golongan.

“Bola sepak adalah untuk semua dan tiada siapa yang seharusnya ketinggalan. Tidak kira apa jua keupayaan seseorang, setiap individu harus diberikan peluang untuk merasai pengalaman dalam bola sepak, belajar, memimpin dan menyumbang,” katanya.

Kerjasama itu dibina susulan kejayaan Football For All Leadership Programme (FFALP) di Kuala Lumpur pada 2025, yang merupakan edisi pertama program berkenaan di rantau Asia dan Oceania.

Program dengan sokongan ‘FIFA Foundation’ itu menghimpunkan 40 peserta OKU dari seluruh rantau untuk mengikuti latihan pembangunan kepimpinan, bola sepak kurang upaya dan industri sukan.

Kerjasama berkenaan akan menjadi asas kepada fasa baharu inisiatif bola sepak inklusif di Asia Tenggara, dengan maklumat lanjut mengenai program dan rakan kerjasama akan diumumkan dalam beberapa bulan akan datang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.