38 kawasan di Semenanjung Malaysia catat IPU tidak sihat petang ini

Situasi jerebu di Shah Alam/Foto Fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 September – Sebanyak 38 kawasan di Semenanjung Malaysia mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 5 petang ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Beberapa negeri seperti Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Melaka, Terengganu, Pahang, Johor, Kedah dan Kelantan catat IPU tidak sihat.
  • Bacaan tertinggi direkodkan di kawasan sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, termasuk Johan Setia, Shah Alam dan Cheras.
  • IPU dikategorikan: 0-50 baik, 51-100 sederhana, 101-200 tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat, 301 ke atas berbahaya.

Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS), enam kawasan di Selangor merekodkan bacaan pada tahap tidak sihat, iaitu Johan Setia (183), Shah Alam (170), Petaling Jaya (164), Klang (160), manakala Banting dan Kuala Selangor masing-masing 159.

Di Kuala Lumpur, bacaan tidak sihat direkodkan di Cheras (174) dan Batu Muda (170), manakala di Negeri Sembilan melibatkan Nilai (170), Seremban (165) dan Port Dickson (148), serta Putrajaya (170).

Di Pulau Pinang, sebanyak empat kawasan berada pada tahap tidak sihat, iaitu Minden (166), Balik Pulau (165), Seberang Jaya (160) dan Seberang Perai (158).

Sementara itu, Perak mencatatkan lima kawasan pada tahap tidak sihat di Seri Manjung (166), Tasek, Ipoh (164), Tanjung Malim (161), Taiping (157) dan Pegoh, Ipoh (153).

Tiga kawasan di Melaka turut mencatatkan tahap bacaan IPU tidak sihat, iaitu Bukit Rambai (155), Alor Gajah (153) dan Bandaraya Melaka (145), manakala di Terengganu melibatkan Kuala Terengganu (162), Besut (145), Kemaman (141) dan Paka (133).

Di Pahang, bacaan IPU sama direkodkan di Temerloh (155), Jerantut (152), Indera Mahkota, Kuantan (143), Balok Baru dan Kuantan (142).

Di Johor, bacaan tidak sihat melibatkan Tangkak (134), Kluang (124) dan Batu Pahat (103), manakala di Kedah melibatkan Sungai Petani (158) dan Kulim Hi-Tech (155) serta satu kawasan di Kelantan, iaitu Tanah Merah (155).

Selain itu, sebanyak 21 kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan pada tahap sederhana antaranya di Sarawak, iaitu di Kuching (79), Samarahan (67), Sibu (66), IPD Serian (60), Bintulu (58), Mukah (53), Miri (52), manakala Sabah melibatkan Tawau (73), Kimanis (66) dan Keningau (54).

Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya).- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.