
KUCHING, 16 September – Seramai 847 individu menerima manfaat Tabung Kasih@HAWANA, sejak diperkenal pada tahun 2023 sehingga kini.
- Jumlah sumbangan Tabung Kasih@HAWANA keseluruhan RM2.488 juta sejak dilaksanakan.
- Untuk tahun ini 241 penerima menerima RM735,300, termasuk 35 penerima dari Sarawak, salah satunya keluarga mendiang James Ritchie.
- Timbalan Menteri Teo Nie Ching melawat keluarga mendiang, menyampaikan takziah, dan menegaskan jasa James, penerima Anugerah Tokoh HAWANA 2023, terus dikenang.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, jumlah keseluruhan sumbangan mencecah RM2.488 juta.
Bagi tahun ini sahaja, seramai 241 penerima memperoleh manfaat, dengan sumbangan keseluruhan RM735,300.
“Daripada jumlah itu, 35 penerima adalah dari Sarawak termasuk keluarga mendiang wartawan veteran, James Alexander Ritchie, katanya.
Beliau ditemui media selepas melawat keluarga mendiang James Ritchie di kediaman mereka di Tabuan Jaya, di sini, hari ini.
Jelas Teo lagi, sumbangan mendiang James yang pernah menerima Anugerah Tokoh HAWANA 2023 akan terus dikenang selepas lebih lima dekad menabur bakti dalam bidang kewartawanan, khususnya di Sarawak.
“Jasa mendiang akan sentiasa dikenang. Hari ini kami hadir untuk menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga dan pada masa sama memberitahu mereka bahawa James akan terus dikenang,” katanya.
Sementara itu, anak perempuan mendiang, Rebekah Dawn Ba’o Ritchie melahirkan rasa bangga apabila sumbangan bapanya dalam bidang kewartawanan terus dihargai.
“Saya berasa sangat bangga dengan bapa saya kerana beliau dikenang pada hari yang begitu bermakna iaitu Hari Malaysia.
“Salah satu perkara yang sangat diminatinya ialah Malaysia dan Sarawak. Beliau juga banyak menulis mengenai tokoh-tokoh sejarah kerana tidak mahu masyarakat tempatan melupakan mereka.
“Jadi, amat menyentuh hati apabila orang ramai masih mengingati bapa saya,” katanya.
James meninggal dunia pada usia 75 tahun pada 3 Mei tahun lalu di Hospital Umum Sarawak.