
IPOH, 15 September – Mahkamah Majistret di sini membenarkan perintah reman tujuh hari terhadap dua individu bertujuan membantu siasatan sindiket pemalsuan dokumen hak milik kenderaan di Perak.
- Pemilik syarikat dan broker kereta disyaki terbabit dalam sindiket pemalsuan dokumen hak milik kenderaan.
- Sindiket dipercayai memberi suapan kepada pegawai agensi penguatkuasaan termasuk JPJ untuk memudahkan urusan tukar hak milik.
- Sejumlah 13 individu, termasuk enam penjawat awam dan lima orang awam, telah ditahan dalam siasatan berterusan.
- Siasatan awal mendapati dokumen mengandungi butiran palsu digunakan untuk tukar hak milik 16 nombor pendaftaran klasik sekitar 2025.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Evangelin Simon Silvaraj sehingga 21 September ini terhadap kedua-dua suspek selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM.
Pemilik syarikat serta broker kereta itu disyaki terbabit dalam sindiket yang turut memberi suapan kepada pegawai agensi penguatkuasaan bagi urusan tukar hak milik kenderaan.
Kedua-dua individu berusia dalam lingkungan 30-an dan 40-an itu ditahan semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Perak.
Tangkapan terbaharu itu susulan pembongkaran sindiket berkenaan oleh SPRM dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan, JPJ.
Sebelum ini, enam penjawat awam dan lima orang awam ditahan dalam siasatan sama, menjadikan keseluruhan 13 individu ditahan setakat ini.
Siasatan awal mendapati sindiket dipercayai menggunakan dokumen mengandungi butiran palsu dalam urusan tukar hak milik membabitkan 16 nombor pendaftaran klasik sekitar tahun 2025.
Pengarah SPRM Perak, Azizul Ahmad Sarkawi mengesahkan tangkapan berkenaan dengan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.