
BINTULU, 15 September – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak menggagalkan cubaan mengedar lebih 80 kilogram syabu bernilai RM4.017 juta yang disorokkan dalam bungkusan diikrarkan sebagai ‘Tofu Cat Litter’, di Bintulu.
- Risikan selama 12 hari bermula 28 Ogos mendedahkan taktik sindiket.
- Pemeriksaan rapi menemui ketulan mampat disyaki dadah jenis methamphetamine.
- Modus operandi: menggunakan perkhidmatan kurier dan maklumat penerima palsu; kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1) dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup.
Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Datuk Norizan Yahya berkata, taktik sindiket itu terbongkar hasil risikan selama 12 hari bermula 28 Ogos lalu.
“Pemeriksaan rapi terhadap bungkusan berkenaan mendapati ia mengandungi ketulan mampat disyaki dadah berbahaya jenis syabu atau methamphetamine. Keseluruhan dadah yang dirampas seberat 80,356.33 gram dengan anggaran nilai RM4.017 juta.
“Siasatan mendapati modus operandi sindiket adalah menggunakan perkhidmatan kurier, dengan maklumat penerima yang digunakan adalah palsu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.