
ISKANDAR PUTERI, 15 September – Dua lelaki yang disyaki aktif melakukan kegiatan pecah rumah, samun dan curi di sekitar Gelang Patah dan Kangkar Pulai, Johor Bahru sejak April lalu ditahan polis dalam Op Pintu Durai, 5 September lepas.
- Polis berjaya menyelesaikan 11 kes dengan kerugian keseluruhan kira-kira RM75,000.
- Suspek mensasarkan rumah tidak berpenghuni, tapak pembinaan dan pusat data untuk mencuri tembaga.
- Kedua-dua suspek mempunyai 31 dan 11 rekod jenayah, diuji positif methamphetamine dan direman hingga 18 September.
Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintenden Saifullah Jaya @ Yahaya, susulan tangkapan itu polis berjaya menyelesaikan 11 kes yang dilaporkan dengan nilai kerugian keseluruhan kira-kira RM75,000.
“Dengan tangkapan yang dibuat, sebanyak 11 kes berjaya diselesaikan iaitu melibatkan pecah rumah, samun serta mencuri peralatan kabel dan pasu.
“Kedua-dua suspek bergerak secara solo dan berkumpulan. Ada jenayah dilakukan secara bersendirian dan ada yang dilakukan bersama,” katanya.

Beliau berkata suspek menyasarkan rumah yang tidak berpenghuni serta tapak pembinaan dan pusat data bagi mencuri tembaga.
Katanya, kedua-dua suspek masing-masing mempunyai 31 dan 11 rekod jenayah serta didapati positif dadah jenis methamphetamine.
Kedua-dua suspek kini direman sehingga 18 September bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379, 457, 395 dan 397 Kanun Keseksaan.