
KUANTAN, 15 September – Lima stesen pemantauan kualiti udara di Pahang merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat, susulan fenomena jerebu yang melanda beberapa kawasan ketika ini.
- PM2.5 dan PM10 boleh menembusi paru-paru dan saluran darah, meningkatkan risiko sesak nafas dan komplikasi pernafasan.
- Pesakit kronik seperti kencing manis atau darah tinggi lebih berisiko mengalami serangan asma atau penyakit paru-paru kronik.
- Orang ramai dinasihatkan pantau IPU melalui APIMS, kurangkan aktiviti luar, pakai pelitup dengan betul dan elak pembakaran terbuka.
Stesen berkenaan ialah Indera Mahkota, Balok Baru, Jerantut, Temerloh dan Rompin.
Pakar Kesihatan Awam Unit Kesihatan Awam SASMEC@IIUM, Profesor Madya Dr Edre Mohammad Aidid berkata, keadaan itu boleh memberi kesan kepada kesihatan terutama sistem pernafasan, berikutan kehadiran zarah halus seperti Particulate Matter (PM)2.5 dan PM10 di udara.
Menurut beliau, PM2.5 boleh menembusi jauh ke dalam paru-paru dan saluran darah, sekali gus meningkatkan risiko sesak nafas serta komplikasi kesihatan yang lebih serius.
“PM10 pula boleh menyebabkan masalah pada saluran pernafasan pada bahagian awal saluran pernafasan. Masyarakat boleh mengalami batuk dan sesak nafas.
“Jika pesakit mempunyai masalah kesihatan lain seperti kencing manis atau darah tinggi, mereka lebih berisiko mengalami serangan asma atau penyakit kronik paru-paru,” katanya.
Beliau menasihati orang ramai supaya mendapatkan maklumat terkini mengenai bacaan IPU menerusi Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), selain mengurangkan aktiviti luar serta memakai pelitup mulut dan hidung dengan betul ketika bacaan IPU berada pada tahap tidak sihat.
Orang ramai turut diingatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka, manakala individu yang mengalami gejala seperti batuk, selesema atau sesak nafas dinasihatkan mendapatkan rawatan segera.
Setakat pukul 12 tengah hari, bandar Indera Mahkota mencatat bacaan IPU tertinggi iaitu
164, diikuti Balok Baru (163), Temerloh (159), Jerantut (158) dan Rompin, 154.
Tinjauan di sekitar Kuantan mendapati, orang ramai mula terkesan dengan keadaan jerebu yang berlarutan sejak kira-kira dua minggu lalu.
Ada yang terpaksa mendapatkan cuti sakit kerana mengalami masalah kesihatan, selain mengalami pedih mata dan ketidakselesaan akibat jerebu.
“Dah dua minggu perasan jerebu ni, tapi hari ini memang yang paling teruk. Akak pun baru ambil MC semalam sebab batuk, demam dan selesema,” kata Rodziah Ahmad Sawab.
“Kalau ikutkan, makin hari makin teruk, termasuk hari ini. Buat masa ni sesak nafas tak ada lagi, cuma selesema tu dah mula datang,” menurut Mohd Haikal Abdullah.
“Jerebu ni makin teruk berbanding semalam. Hari ini pun dari pagi memang teruk juga. Mata pun sakit, rasa pedih-pedih sikit,” kata Asri Satar.
Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara Baik, 51 hingga 100 (Sederhana), 101 hingga 200 (Tidak Sihat), 201 hingga 300 (Sangat Tidak Sihat), manakala 301 ke atas Berbahaya.
Maklumat terkini berkaitan IPU boleh diperoleh menerusi laman sesawang JAS di eqms.doe.gov.my/APIMS atau aplikasi rasmi MyJAS EQMS.