
JAKARTA, 14 September – Tiga ekor orang utan diselamatkan selepas kebakaran hutan dan tanah memaksa spesies itu keluar dari habitat mereka di Wilayah Kalimantan Barat, Indonesia, menjadikan jumlah keseluruhan yang diselamatkan akibat kebakaran setakat ini kepada 18 ekor, menurut agensi pemuliharaan tempatan pada Isnin, lapor Xinhua.
- Dipindahkan melalui dua operasi dari kampung Penjalaan dan Padu Banjar selepas ditemukan di kawasan perladangan penduduk.
- Mama Penja dan anaknya Penja ditemukan sangat kurus dan lemah; Mama Penja dehidrasi, anemia, kesan terbakar pada kaki dan kerosakan gigi.
- Kumbang mengalami masalah pernafasan, kecederaan, kesan jerat dan objek dipercayai peluru pada tangan kanannya; pernah dilepaskan pada 2022.
- Ketiga-tiga kini menerima rawatan di pusat penyelamat YIARI di Ketapang; kawasan ditemui sebahagian zon penampan Taman Negara Gunung Palung.
Ketua Balai Konservasi Sumber Daya Alam (BKSDA) Kalimantan Barat Murlan Dameria Pane berkata tiga orang utan berkenaan dipindahkan dalam dua operasi dari kampung Penjalaan dan Padu Banjar di Kabupaten Ketapang selepas ditemukan di kawasan perladangan penduduk.
Pengarah Eksekutif Yayasan Inisiatif Rehabilitasi Alam Indonesia (YIARI) Karmele Llano Sanchez berkata dua daripada orang utan berkenaan, iaitu induk dan anaknya yang dinamakan Mama Penja dan Penja, ditemukan dalam keadaan sangat kurus serta lemah.
Mama Penja juga mengalami dehidrasi teruk, anemia, kesan terbakar pada kedua-dua belah kaki serta kerosakan gigi.
Sementara itu, orang utan jantan bernama Kumbang mengalami masalah pernafasan, kecederaan dan kesan jerat, manakala objek asing dipercayai peluru ditemukan pada tangan kanannya.
Kumbang sebelum ini pernah diselamatkan di kawasan sama dan dilepaskan semula ke habitat asal pada 2022. Ketiga-tiga orang utan itu kini menerima rawatan di pusat penyelamat YIARI di Ketapang.
Kawasan orang utan berkenaan ditemukan merupakan sebahagian daripada habitat dan zon penampan Taman Negara Gunung Palung, yang menjadi habitat penting bagi populasi orang utan di Kalimantan Barat.-Bernama-Xinhua