
KUALA LUMPUR, 13 September – Atlet wushu negara, Loh Ying Ting menyasarkan kedudukan tiga terbaik pada penampilan sulungnya di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
- Persiapan latihan pusat di China berjalan baik; kembali ke tanah air minggu lalu.
- Persediaan teknikal sudah berada pada tahap baik; keyakinan menjadi tumpuan utama untuk diperkukuh.
- Menjalani pembedahan pembinaan semula ligamen ACL pada 2024; proses pemulihan satu cabaran, tetapi bersyukur wakili negara.
Atlet berusia 29 tahun dari Melaka itu berkata, persiapannya berada pada tahap baik selepas menjalani latihan pusat di China sebelum kembali ke tanah air minggu lalu.
“Persiapan di China sudah cukup baik. Kini, saya hanya perlu memastikan keadaan mental dan fizikal kekal stabil serta tidak terlalu banyak turun naik,” katanya ketika ditemui media.
Ying Ting yang akan beraksi dalam acara wanita Changquan mengakui setiap negara di Asia mempunyai atlet yang mampu memberi cabaran, namun memilih untuk tidak terlalu memikirkan kekuatan lawan.
“Saya tidak terlalu memikirkan tentang mereka. Saya hanya fokus kepada diri sendiri dan mengawal perkara yang boleh saya kawal. Selebihnya akan datang dengan sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Ying Ting mengakui aspek keyakinan menjadi tumpuan utama yang perlu diperkukuh menjelang pertandingan, manakala persiapan teknikal sudah berada pada tahap baik.
Ying Ting turut pernah menjalani pembedahan pembinaan semula ligamen anterior cruciate (ACL) pada 2024 dan menyifatkan proses pemulihan sebagai satu cabaran. Bagaimanapun, dia bersyukur kerana diberi peluang mewakili negara pada temasya kali ini.
Pertandingan wushu Sukan Asia dijadual berlangsung dari 20 hingga 24 September ini di Aichi Prefectural Martial Arts Hall, Jepun.