Malaysia terus usaha dapatkan semula aset 1MDB

Foto fail

KUALA LUMPUR, 13 September – Malaysia kekal tegas dalam usaha mendapatkan kembali aset berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), termasuk menerusi tuntutan kira-kira S$1.298 bilion (RM4.2 bilion) terhadap DBS Bank Ltd di Mahkamah Tinggi Singapura.

RINGKASAN BERITA AI
  • Usaha pemulihan bukan sekadar mendapatkan wang, tetapi memperkukuh tatakelola, kebertanggungjawaban institusi dan keyakinan terhadap negara.
  • Empat syarikat dalam proses pembubaran memfailkan tuntutan ganti rugi berkaitan dana yang didakwa diseleweng daripada 1MDB dan SRC 2013-2014.
  • Jumlah obligasi 1MDB yang ditanggung kerajaan RM51.4 bilion; RM42.5 bilion dibayar dan baki hutang RM8.9 bilion.
  • Pemulihan aset hasilkan RM31.3 bilion, melibatkan kerjasama antarabangsa; penyelesaian dengan JPMorganChase menyumbang RM1.4 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan menerusi satu kenyataan menegaskan, usaha pemulihan bukan sekadar mendapatkan semula wang yang hilang, malah penting bagi memperkukuh tatakelola, kebertanggungjawaban institusi serta keyakinan terhadap negara.

Tuntutan berkenaan difailkan oleh empat syarikat yang sedang dalam proses pembubaran, bagi menuntut ganti rugi berhubung dana yang didakwa diseleweng daripada 1MDB dan SRC International Sdn Bhd antara 2013 hingga 2014.

Menurut Pasukan Petugas Pemulihan Aset 1MDB, tuntutan itu melibatkan lima akaun DBS yang dibuka pada 2013 oleh empat syarikat terbabit.

Setakat ini, keseluruhan obligasi 1MDB yang ditanggung kerajaan berjumlah RM51.4 bilion, dengan RM42.5 bilion telah dibayar manakala baki hutang berjumlah RM8.9 bilion.

Sebanyak RM31.3 bilion pula berjaya diperoleh semula menerusi usaha pemulihan aset, menjadikan baki kerugian yang bakal ditanggung kerajaan kira-kira RM20 bilion.

Usaha pemulihan aset turut membabitkan kerjasama dan proses perundangan di Amerika Syarikat, Switzerland, United Kingdom dan Singapura.

Antara pemulihan terbaharu ialah penyelesaian dengan JPMorganChase pada Ogos 2025 yang menyumbang RM1.4 bilion ke dalam Akaun Amanah Pemulihan Aset Malaysia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.