Struktur asas UiTM wajar dikekalkan bawah Akta 173 – PAUiTM

​Naib Presiden Alumni dan Pemegang Taruh PAUiTM, Abang Mohd Hafizie Abang Bunsu – Foto RTM

KUALA LUMPUR, 13 September – Persekutuan Alumni Universiti Teknologi MARA (PAUiTM) berpandangan bahawa struktur asas penubuhan Universiti Teknologi MARA (UiTM) wajar dikekalkan sepertimana tertakluk bawah Akta Universiti Teknologi MARA 1976 (Akta 173).

RINGKASAN BERITA AI
  • Reformasi undang-undang harus berbentuk pindaan bersasar, bukan pemansuhan total.
  • Perlu pengiktirafan jelas Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) menggantikan istilah jawatankuasa perwakilan lama.
  • Keanggotaan Lembaga Pengarah UiTM wajar diperluas, dicadangkan daripada sembilan kepada 15 bagi mencerminkan komuniti besar.

​Naib Presiden Alumni dan Pemegang Taruh PAUiTM, Abang Mohd Hafizie Abang Bunsu berkata, UiTM beroperasi bawah punca kuasa undang-undang tersendiri iaitu Akta 173, yang berbeza daripada akta universiti awam lain.

Sehubungan itu, sebarang usaha reformasi undang-undang perlu bersifat penambahbaikan atau pindaan terhadap klausa tertentu mengikut kesesuaian semasa, dan bukannya pemansuhan secara total.

​”Tiang-tiang kepada struktur asas UiTM ialah akta penubuhannya sendiri. Kalau kita hendak mansuhkan, ia memerlukan penelitian yang panjang. Namun, kita boleh membuat pindaan kepada perkara-perkara yang menjadi isu dan menyesuaikannya mengikut suasana serta keadaan semasa,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, Kota Media.

​Antara cadangan pindaan yang wajar diberi perhatian termasuk penstrukturan semula terma perwakilan mahasiswa, seperti mengiktiraf Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) secara lebih jelas berbanding istilah jawatankuasa perwakilan pelajar terdahulu.

Selain itu, beliau turut mengesyorkan agar keanggotaan Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UiTM diperluas bagi mencerminkan saiz komuniti universiti yang besar.

​”Dengan enrolmen sekitar 180,000 pelajar dan hampir 1.2 juta alumni, kerusi Lembaga Pengarah Universiti yang kini berjumlah sembilan orang wajar dipertimbangkan untuk ditambah sehingga 15 orang, setaraf dengan struktur tadbir urus di universiti-universiti lain,” tambah beliau.

​Abang Mohd Hafizie menyatakan demikian ketika diminta mengulas perkembangan semasa perbincangan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 serta komitmen pengurusan undang-undang UiTM dalam meneliti sebarang peruntukan yang wajar ditambah baik demi kemaslahatan warga kampus dan alumni.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.