Himpunan alumni UiTM bersama PM medan perkasa suara graduan

Foto UiTM

KUALA LUMPUR, 13 September – Penganjuran Himpunan Mesra Alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 September ini bakal mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi medan rasmi mengangkat aspirasi warga graduan terus kepada pucuk pimpinan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menegaskan peranan hampir 1.2 juta alumni UiTM sebagai aset strategik negara, sedia menyumbang kepada agenda pembinaan negara.
  • Perhimpunan mensasarkan 4,000 peserta fizikal dan sehingga 50,000 secara dalam talian untuk memperkasa agenda pendidikan tinggi bumiputera.
  • Seruan agar alumni memberi kembali melalui pementoran, perkongsian kepakaran industri dan konsultasi bagi membantu 180,000 penuntut semasa.

Perhimpunan mega anjuran bersama Persekutuan Alumni UiTM (PAUiTM) dan Bahagian Jaringan Alumni dan Kesepaduan (ICAN) UiTM bertempat di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC) itu diadakan bersempena sambutan tujuh dekad legasi penubuhan institusi berkenaan sejak era Dewan Latihan RIDA pada tahun 1956.

​Pengarah bersama himpunan merangkap Naib Presiden Alumni dan Pemegang Taruh PAUiTM, Abang Mohd Hafizie Abang Bunsu berkata, himpunan pertama bersama Perdana Menteri selepas pengisytiharan taraf universiti pada 1999 itu membawa misi penting untuk membuktikan peranan komuniti graduan sebagai aset strategik negara.

​”Aspirasi utama kita kepada Perdana Menteri adalah untuk menyatakan bahawa hampir 1.2 juta alumni UiTM di serata negara merupakan kekuatan penting yang sentiasa bersedia menyumbang kepada agenda pembinaan negara bangsa.

​”Melalui pertemuan rentas generasi ini daripada Dewan Latihan RIDA, Maktab MARA, ITM sehinggalah UiTM, kita mahu memperkukuh keberadaan alumni dalam pelbagai sektor strategik ekonomi dan pentadbiran, selain menyokong aspirasi pembangunan negara secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui RTM selepas program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media, di sini.

​Di samping membawa suara alumni kepada kepimpinan tertinggi, program yang disasarkan menghimpunkan 4,000 peserta fizikal dan sehingga 50,000 secara dalam talian itu turut menetapkan aspirasi memperkasa agenda pendidikan tinggi bumiputera.

​Senada dengannya, Pengarah bersama yang juga Pengarah Bahagian Jaringan Alumni dan Kesepaduan ICAN UiTM, Prof. Madya Ts. Dr. Nur Aliana Hidayah Mohamed menegaskan, sokongan Perdana Menteri menjadi pemangkin penting agar UiTM terus proaktif menyediakan akses pendidikan berkualiti dan relevan dengan pasaran.

​Sejajar dengan aspirasi itu, beliau menyeru para alumni untuk ‘memberi kembali’ kepada universiti, khususnya menerusi perkongsian kepakaran industri dan bimbingan mentor kepada 180,000 penuntut semasa.

​”UiTM amat memerlukan sokongan berterusan alumni. Sumbangan yang diharapkan bukan sekadar wang ringgit, sebaliknya peluang konsultasi, pementoran, dan perkongsian pengalaman sebenar di industri yang amat didahagakan oleh para mahasiswa demi melahirkan graduan berdaya saing,” jelasnya.

​Bagi menjayakan perhimpunan bersejarah itu, para alumni diseru membuat pendaftaran awal menerusi portal rasmi di alumniuitm.my bagi tujuan penyelarasan tempat duduk dan pengesahan kehadiran.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.