
KUALA LUMPUR, 13 September – Jabatan Alam Sekitar (JAS) menafikan sekeras-kerasnya sebarang penglibatan jabatan dan pegawainya dalam urusan tempahan, pembelian, pelantikan vendor atau apa-apa transaksi perolehan yang dibuat oleh mana-mana pihak dengan menggunakan nama, jawatan atau identiti pegawai JAS.
- Surat atau dokumen yang menggunakan nama pegawai tanpa saluran rasmi adalah tidak sah dan tidak diiktiraf oleh JAS.
- JAS telah membuat laporan polis dan akan memberi kerjasama penuh untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
- Semua urusan perolehan mesti mengikut prosedur rasmi; orang awam dinasihatkan mengesahkan surat melalui saluran JAS.
Dalam satu kenyataan, JAS menegaskan bahawa sebarang surat atau dokumen yang menggunakan nama, jawatan atau maklumat pegawai jabatan bagi tujuan urusan rasmi, tetapi tidak dikeluarkan melalui saluran serta prosedur rasmi yang ditetapkan, adalah tidak sah dan tidak diiktiraf sebagai dokumen rasmi JAS.
“JAS tidak membenarkan sebarang penggunaan nama, jawatan atau maklumat pegawai jabatan tanpa kebenaran bagi tujuan tersebut kerana ia boleh mengelirukan orang awam dan pihak berkepentingan, selain menjejaskan kredibiliti serta integriti jabatan.
“Laporan polis telah dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan oleh pihak berkuasa. Jabatan akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membantu siasatan dan memastikan perkara ini ditangani mengikut undang-undang yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.
JAS menegaskan bahawa semua urusan rasmi, termasuk urusan perolehan dan pelantikan vendor, hendaklah dilaksanakan mengikut tatacara, prosedur serta saluran rasmi yang ditetapkan.
Sehubungan itu, mana-mana pihak yang mempunyai keraguan mengenai kesahihan sesuatu surat atau dokumen yang menggunakan nama JAS dinasihatkan mendapatkan pengesahan terus daripada jabatan melalui saluran rasmi.
Terdahulu, penyalahgunaan nama JAS serta nama dan maklumat pegawai jabatan bagi tujuan tempahan dan urusan perolehan telah tular di media sosial, termasuk laporan media mengenai kes yang didakwa berlaku di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.