Lawatan PM Anwar ke Keralam perkukuh kerjasama dalam sektor berpotensi besar

Konsul Jeneral Malaysia di India Selatan, Saravana Kumar Kumaravasagam / Foto RTM

KERALAM, 13 September – Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Keralam, India selama dua hari bermula hari ini dijangka membuka ruang kerjasama lebih luas dalam sektor pelancongan, perdagangan, pelaburan dan pendidikan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkembangan kerjasama dalam pelancongan, perdagangan, pelaburan dan pendidikan membuka peluang ekonomi dan pembangunan bersama.
  • Potensi besar pelancongan, termasuk wellness tourism berasaskan kepakaran Ayurveda, boleh diterokai oleh usahawan Malaysia.
  • Pertemuan dengan pemimpin agama dan negeri dijadual untuk memperkukuh kerjasama dua hala antara Malaysia dan Keralam.

Menurut Konsul Jeneral Malaysia di India Selatan Saravana Kumar Kumaravasagam, sektor pelancongan antara bidang yang mempunyai potensi besar untuk dikembangkan berikutan aliran pelancong yang tinggi antara Malaysia dan India Selatan, termasuk Keralam.

Menurut beliau, Malaysia mempunyai kelebihan untuk menarik lebih ramai pelancong dari wilayah berkenaan memandangkan jumlah penduduknya yang besar.

“Ia memberi manfaat sama ada kepada Malaysia dan wilayah India Selatan. Bagaimanapun, negara mempunyai kelebihan memandangkan jumlah penduduk yang padat di sini.

“Justeru, aliran kemasukan pelancong ke Malaysia dari wilayah ini jika mengikut statistik adalah besar,” katanya kepada media Malaysia di sini.

Selain pelancongan umum, Keralam turut terkenal dengan kepakaran dalam bidang Ayurveda yang mengintegrasikan perubatan tradisional dan moden atau ‘allopathy’.

Saravana Kumar berkata kelebihan itu berpotensi diterokai usahawan Malaysia bagi mengembangkan sektor pelancongan kesejahteraan atau ‘wellness tourism’.

Mengulas lawatan pertama Perdana Menteri ke India Selatan, beliau berkata kerajaan Keralam melihat kunjungan itu sebagai signifikan memandangkan Malaysia dianggap rakan kongsi rapat India.

Dalam rangka lawatan itu, Datuk Seri Anwar dijadual bertemu Mufti Besar India Sheikh Abubakr Ahmad di Jamia Markaz hari ini bagi bertukar pandangan mengenai pelbagai bidang.

Perdana Menteri juga dijadual mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Keralam, V.D. Satheesan dan Gabenor Keralam Rajendra Vishwanath Arlekor esok bagi memperkukuh kerjasama dua hala antara Malaysia dan Keralam.

Sebelum ke Keralam, Datuk Seri Anwar menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 di New Delhi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.