Malaysia teroka pelaburan, kerjasama dengan India dalam sektor bernilai tinggi

Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) pada sesi pertemuan bersama pemain industri utama India dan Malaysia, di sini / Foto FB Anwar Ibrahim

NEW DELHI, 13 September – Peluang memperluas pelaburan dan kerjasama industri dengan India dalam sektor strategik terus diteroka Malaysia menerusi beberapa pertemuan bersama pemain industri utama, di sini, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • SEGULA merancang Pusat Kejuruteraan Global di Malaysia menjelang 2026, memperkukuh keupayaan kejuruteraan tempatan dan penggunaan kepakaran kecerdasan buatan.
  • Perbincangan dengan AWL Agri menumpukan peningkatan pembelian produk Malaysia termasuk minyak sawit, lemak khusus, oleokimia dan produk hiliran.
  • Motherson rancangkan pengembangan perniagaan teknologi maklumat dan penyelesaian digital, memanfaatkan bakat tempatan, infrastruktur dan kedudukan Malaysia sebagai pintu masuk serantau.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, pertemuan pertama diadakan bersama DRB-HICOM yang hadir bersama rakan strategik bagi meneroka ruang kerjasama dengan industri automotif di India.

“Saya kemudian bertemu kepimpinan SEGULA Technologies India, sebuah syarikat kejuruteraan dan teknologi global, yang menyatakan hasrat untuk menubuhkan Pusat Kejuruteraan Global di Malaysia menjelang akhir 2026,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut Datuk Seri Anwar, inisiatif itu berupaya memperkukuh keupayaan kejuruteraan tempatan menerusi pengambilan bakat Malaysia serta penerapan kepakaran kecerdasan buatan dalam sektor automotif, aeroangkasa, tenaga dan pembuatan termaju.

Dalam pertemuan bersama AWL Agri Business Limited pula, perbincangan tertumpu kepada usaha meningkatkan pembelian produk daripada pembekal Malaysia.

AWL Agri Business Limited yang merupakan antara pemain utama sektor perniagaan tani di India, telah mengimport produk minyak sawit Malaysia bernilai kira-kira RM1.5 bilion.

“Pertemuan bersama AWL Agri Business Limited pula tertumpu kepada meneroka usaha meningkatkan pembelian produk daripada pembekal Malaysia,” katanya.

Datuk Seri Anwar berkata perkembangan itu membuka ruang untuk memperluas kerjasama dalam minyak sawit, lemak khusus, oleokimia dan produk hiliran lain.

Beliau turut bertemu wakil Motherson Group yang berkongsi perancangan untuk mengembangkan perniagaan teknologi maklumat dan penyelesaian digital di Malaysia.

Langkah itu dijangka memanfaatkan kekuatan bakat tempatan, infrastruktur digital serta kedudukan strategik Malaysia sebagai pintu masuk ke pasaran serantau.

“Kesemua pertemuan ini mencerminkan keyakinan pemain industri dan pelabur terhadap potensi serta hala tuju ekonomi Malaysia.

“Kerajaan MADANI akan terus memudah cara pelaburan berkualiti yang memperkukuh industri tempatan, mencipta pekerjaan bernilai tinggi serta memastikan limpahan manfaatnya dapat dirasai rakyat,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.