Ibu bapa digesa manfaat fungsi ‘parental control’, pantau internet anak

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 September – Fungsi kawalan ibu bapa (parental control) yang tersedia pada pelbagai aplikasi digital perlu dimanfaatkan ibu bapa bagi memantau serta mengehadkan penggunaan internet anak-anak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ibu bapa perlu menggunakan ciri kawalan ibu bapa pada aplikasi untuk memantau dan mengehadkan penggunaan internet anak.
  • Ekosistem digital yang selamat memerlukan peranan aktif ibu bapa, bukan hanya bergantung kepada pihak berkuasa.
  • Sentiasa berwaspada dengan penipuan dalam talian yang menggunakan AI, penapis wajah dan taktik memikat untuk meminta wang.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata pembentukan ekosistem digital yang selamat memerlukan peranan aktif ibu bapa dan tidak hanya bergantung kepada pihak berwajib semata-mata.

“Ini penting kerana untuk melengkapkan aspek keselamatan digital, mengharapkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berwajib sahaja belum memadai, belum cukup.

“Kerajaan dan pihak berkuasa boleh menentukan had tertentu, tetapi akhirnya penggunalah yang mengendalikannya. Jadi sebagai ibu bapa, kita mempunyai kuasa dan kemampuan untuk bertindak bagi memastikan anak-anak terus selamat apabila menggunakan internet,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat 2026 Peringkat Parlimen Lembah Pantai di Dataran Pantai Ria, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Datuk Seri Fahmi turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap pelbagai taktik penipuan dalam talian yang digunakan untuk memperdaya mangsa, termasuk memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta penapis wajah atau filter.

“Tolong berhati-hati kerana dalam pelbagai aplikasi, orang akan guna pelbagai cara untuk meyakinkan kita. Kita bercakap dengan orang yang kelihatan kacak atau jelita, mereka mahu kita jatuh hati dan akhirnya meminta duit sehingga kita kerugian,” jelasnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.