
CLEON, 12 September – Pihak penyiasat mengesyaki insiden kereta api tergelincir dari landasan di barat laut Perancis hingga mencederakan 44 orang berpunca daripada perbuatan sabotaj.
- Kes diklasifikasikan sebagai kes khianat selepas serpihan besi landasan ditemui.
- 44 orang cedera termasuk seorang wanita 18 tahun dalam keadaan kritikal.
- 130 anggota bomba, lima pasukan perubatan dan 80 kenderaan dikerah ke lokasi kecemasan.
- Perjalanan di laluan dihentikan, bekalan elektrik landasan diputuskan; perkhidmatan mula beroperasi semula secara berperingkat pagi Sabtu.
Menurut sumber polis, kes diklasifikasikan sebagai kes khianat setelah satu serpihan besi landasan ditemui di atas landasan.
Dalam kejadian pada Jumaat, kereta api yang membawa 186 penumpang dalam perjalanan antara dua bandar Normandy iaitu Rouen dan Caen, apabila tergelincir sekitar pukul 7:45 malam.
Pihak berkuasa mengaktifkan pelan tindak balas kecemasan berskala besar dengan 130 anggota bomba, lima pasukan perubatan dan 80 kenderaan dikerah ke lokasi kejadian.
Dalam pada itu, Pendakwa Raya Rouen, Sebastien Gallois menyatakan 44 orang mengalami kecederaan termasuk seorang wanita berusia 18 tahun kritikal.
“Ujian saringan dadah dan alkohol ke atas pemandu kereta api tersebut disahkan negatif,” katanya.
Sementara itu, syarikat yang menguruskan rangkaian kereta api Perancis, SNCF Reseau memaklumkan, perjalanan di laluan tersebut telah dihentikan, manakala bekalan elektrik pada landasan telah diputuskan bagi memberi laluan kepada operasi perkhidmatan kecemasan.
“Nahas itu telah mencetuskan gangguan besar terhadap jadual perjalanan rel dari kedua-dua arah antara Rouen dan Caen, serta antara Caen dan Le Havre. Bagaimanapun, pada pagi Sabtu perkhidmatan kereta api telah beroperasi semula secara berperingkat,” jelasnya.- AFP