Asia Barat tidak perlu ‘polis rantau’ AS – Presiden Iran

Foto BERNAMA

NEW DELHI, 12 September – Presiden Iran, Masoud Pezeshkian menegaskan rantau Asia Barat tidak memerlukan Amerika Syarikat (AS) untuk bertindak sebagai “polis rantau”, di tengah-tengah konflik berterusan serta persaingan merebut kawalan di Selat Hormuz.

RINGKASAN BERITA AI
  • Presiden Iran: Asia Barat tidak memerlukan AS sebagai polis rantau; kedaulatan dan keselamatan mesti dijamin oleh negara terlibat sendiri.
  • Konflik tercetus selepas serangan sekutu AS-Israel yang mengorbankan Pemimpin Tertinggi Iran dan mencetuskan tindak balas Republik Islam.
  • Iran melancarkan serangan balas serantau dan menyekat Selat Hormuz, mewajibkan kebenaran kapal serta mempertimbang mengenakan caj perkhidmatan.
  • Persaingan Iran dan AS merebut kawalan laluan air kritikal menyebabkan gangguan perdagangan serta lonjakan harga minyak melepasi AS$100 setong.

“Kita tidak memerlukan polis rantau,” kata Pezeshkian di Sidang Kemuncak BRICS di India semasa pertemuan beliau dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu.

Menurut kenyataan Pejabat Presiden Iran, Pezeshkian berkata kedaulatan wilayah dan keselamatan rantau tersebut hanya boleh dijamin oleh negara-negara terlibat dan pemain utamanya sendiri.

Konflik melibatkan Iran tercetus sejak 28 Februari lalu selepas serangan sekutu AS-Israel mengorbankan Pemimpin Tertinggi negara itu.

Sebagai tindak balas, Republik Islam berkenaan telah melancarkan serangan balas di seluruh rantau dan bertindak menyekat Selat Hormuz, laluan strategik yang sebelum ini menjadi laluan satu perlima bekalan minyak dunia.

Sejak itu, Iran dan AS terus bersaing bagi merebut kawalan di laluan laluan air yang kritikal tersebut.

Sebelum peperangan tercetus, Selat Hormuz bebas dilalui oleh mana-mana kapal.

Bagaimanapun, Iran kini mewajibkan setiap kapal mendapatkan kebenaran terlebih dahulu dan sedang mempertimbang mekanisme untuk mengenakan caj perkhidmatan.

Kapal-kapal yang enggan mematuhi arahan tersebut kerap menjadi sasaran serangan Iran, manakala AS pula menyasarkan serangan bom di kawasan pesisiran pantai Iran secara berkala bagi mencabar kawalan negara berkenaan di selat tersebut.

Selepas lebih enam bulan konflik berlarutan di Timur Tengah, sekatan berkenaan terus melonjakkan harga minyak dunia hingga melepasi AS$100 setong minggu ini.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.