40 tahun LABUANfm: Kekal jadi medium pilihan komuniti

Foto RTM

LABUAN, 12 September Genap 40 tahun penubuhannya sejak 31 Ogos 1986, Jabatan Penyiaran Negeri Labuan terus memainkan peranan menyampaikan maklumat, pendidikan dan hiburan kepada masyarakat menerusi stesen radio LABUANfm.

RINGKASAN BERITA AI
  • LABUANfm terus menyampaikan maklumat, pendidikan dan hiburan kepada masyarakat.
  • Ulang tahun 'Suara 4 Dekad' dianjurkan dengan pertandingan Idola Komuniti, pameran rakan strategik, studio mini dan program derma darah.
  • RTM Labuan menyesuaikan diri dengan evolusi digital, memperbaharui peralatan dan cara penyampaian.
  • Sebagai jambatan antara kerajaan dan komuniti, LABUANfm kekal relevan walaupun bersaing dengan penyiar lain dan media sosial.

Bagi meraikan empat dekad penyiaran, Program Ulang Tahun LABUANfm Ke-40: Suara 4 Dekad berlangsung di Pentas Anggerik, Ujana Kewangan Labuan.

Program turut menampilkan Pertandingan Idola Komuniti @ LABUANfm membabitkan 10 peserta, selain pameran rakan strategik, studio mini LABUANfm dan program derma darah.

Ia turut diserikan dengan persembahan penyampai LABUANfm serta artis jemputan.

Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Labuan, Howard Martin Kim Sung @ Cornelius berkata, tema ‘Suara 4 Dekad’ dipilih bagi menggambarkan perjalanan LABUANfm sebagai institusi penyiaran yang terus berkembang seiring perubahan zaman dan teknologi.

“Kalau kita lihat perubahan yang sangat ketara sepanjang 40 tahun ini kerana RTM berubah mengikut evolusi zaman. Jadi kita tidak ketinggalan terutama melibatkan era pendigitalan iaitu peralatan termasuk cara penyampaian,” katanya.

Sementara itu, menurut Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon Labuan, S. Roslee Matusin, setelah empat dekad menyulam suara dan menyampaikan maklumat, LABUANfm diharap terus menjadi medium penyampaian maklumat yang sahih serta jambatan penghubung antara kerajaan dengan komuniti, selaras pembangunan Labuan.

“Walaupun bersaing dengan penyiar dan media sosial lain, Radio Malaysia Labuan masih mempunyai peminat serta pendengarnya sendiri sekali gus kekal relevan hingga hari ini,” jelasnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.