
BUDAPEST, 12 September – Potensi perdagangan dan pelaburan Sarawak diangkat ke pentas Eropah menerusi Forum Perniagaan dan Pelaburan Malaysia-Hungary 2026 di Budapest, Hungary, sebagai langkah strategik memperkukuh hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.
- Malaysia sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN disokong dasar ekonomi proaktif dan keupayaan industri kukuh membuka peluang perniagaan dengan Hungary.
- Keupayaan Hungary dalam pembuatan berteknologi tinggi menjadikannya rakan kongsi strategik untuk syarikat Malaysia kembangkan pasaran Eropah.
- Sarawak komited jadi hab pelaburan hijau berpendapatan tinggi dengan fokus tenaga bersih, semikonduktor, petrokimia, ekonomi digital; sasaran pelaburan RM330 bilion menjelang 2030.
Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Budapest, Norafizan Mustaffa berkata, kedudukan Malaysia sebagai pintu masuk utama ke pasaran ASEAN disokong dasar ekonomi yang proaktif serta keupayaan industri yang kukuh telah menyediakan peluang lebih luas untuk mengembangkan hubungan perdagangan dan pelaburan dengan Hungary.
“Keupayaan Hungary dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi pula menjadikannya rakan kongsi strategik kepada syarikat Malaysia yang mahu mengembangkan pasaran ke Eropah,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), Datu Lester Matthew yang mengetuai delegasi Sarawak berkata, negeri itu komited untuk menjadi hab pelaburan hijau dan berpendapatan tinggi menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
“Sarawak menyasarkan jumlah pelaburan RM330 bilion menjelang 2030 dengan memberi tumpuan kepada sektor pemangkin termasuk tenaga bersih, petrokimia, pembuatan maju khususnya semikonduktor serta ekonomi digital,” katanya dalam kenyataan sama.
Forum julung kali itu menjadi platform untuk memperkenalkan dan mempromosikan peluang perdagangan serta pelaburan bernilai tinggi kepada kira-kira 60 pemimpin korporat, ahli dewan perniagaan dan pegawai kerajaan Hungary.
Ia turut diserikan dengan sesi padanan perniagaan atau B2B serta pembentangan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Agensi Promosi Eksport Hungary (HEPA).
Majlis berkenaan turut dihadiri Duta Besar Hungary ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Dr. Sándor Sipos.