
KUALA LUMPUR, 12 September – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melaksanakan 10 reformasi pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan menerusi pendigitalan, penggunaan teknologi pintar,penambahbaikan prestasi serta pengukuhan integriti.
- Pendigitalan perkhidmatan melalui platform Bandar Tanpa Kaunter seperti PBTPay, i-Tegur dan OSC 3.0 Plus tingkatkan kecekapan, kutipan hasil dan jimat kos operasi.
- Penggunaan teknologi pintar serta Pusat Kawalan Bersepadu meningkatkan pengurusan bandar, keselamatan dan respons kepada keperluan komuniti.
- Integrasi AI dalam OSC 3.0 Plus dan penekanan CBA serta ROI mempercepat kelulusan, kurangkan birokrasi dan kukuhkan integriti serta akauntabiliti PBT.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata transformasi pendigitalan PBT telah mendorong peningkatan kutipan hasil di samping mengurangkan kos operasi.
“Transformasi pendigitalan perkhidmatan PBT telah menyumbang kepada peningkatan kutipan hasil melebihi RM1.5 bilion dalam tempoh lima tahun, selain mengurangkan kos operasi dan menjimatkan masa rakyat,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia (SHKPS) Peringkat Kebangsaan 2026, hari ini.
Beliau berkata usaha itu antara lain dilaksanakan menerusi konsep Bandar Tanpa Kaunter sejak 2023 dengan penggunaan platform seperti PBTPay, i-Tegur atau PBTCare, ePBT dan OSC 3.0 Plus.
Beliau berkata penggunaan teknologi seperti sistem lampu isyarat pintar, tong sampah pintar dan Pusat Kawalan Bersepadu turut membantu PBT meningkatkan kecekapan pengurusan bandar, keselamatan serta keupayaan bertindak balas terhadap keperluan masyarakat.
Beliau berkata dari aspek kelulusan pembangunan pula, pelaksanaan OSC 3.0 Plus Online termasuk mekanisme Industrial Green Lane, Pre-Requisite, Self-Regulation, E10 Kulim dan Kulai Fast Lane telah membantu mempercepat proses kelulusan.
“Sehingga Julai 2026, lebih 130 permohonan telah melalui mekanisme tersebut, manakala pematuhan piagam pelanggan meningkat daripada 65 peratus pada 2025 kepada 95 peratus setakat Ogos 2026,” katanya.
Beliau berkata KPKT juga sedang mengintegrasikan kecerdasan buatan (AI) dalam OSC 3.0 Plus Online bagi membantu semakan awal, mengenal pasti dokumen tidak lengkap serta memadankan permohonan mengikut kategori dan tahap kompleksiti.
Katanya, langkah itu bertujuan mengurangkan birokrasi yang tidak lagi diperlukan, sekali gus menjadikan proses kelulusan lebih cekap.
Menurutnya, KPKT turut menyediakan siling peruntukan sekitar RM450 juta setahun di bawah BP1 untuk 151 PBT dengan penekanan kepada analisis kos-manfaat (CBA) dan pulangan pelaburan (ROI) bagi memastikan setiap peruntukan menghasilkan manfaat yang nyata kepada rakyat.
“Penekanan diberikan kepada analisis kos-manfaat dan pulangan daripada pelaburan (ROI) supaya setiap peruntukan menghasilkan manfaat yang nyata kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata reformasi PBT turut merangkumi pemantauan prestasi secara masa nyata, penambahbaikan sistem penarafan serta pengukuhan integriti dan akauntabiliti bagi memastikan kecemerlangan PBT bergerak seiring dengan tadbir urus dan pengurusan kewangan yang baik.
Nga turut menggesa PBT supaya terus mendekati rakyat, menyelesaikan masalah di peringkat akar umbi serta menjadi penggerak ekonomi dan penjaga kelestarian persekitaran.