Speedy Tigers sasar ke pentas akhir Sukan Asia 2026

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 11 September – Peningkatan kualiti permainan di bawah kendalian jurulatih baharu, Brendon Carolan menyemarakkan keyakinan skuad hoki lelaki negara, Speedy Tigers untuk memburu tiket ke perlawanan akhir Sukan Asia 2026 di Nagoya, Jepun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengerusi MHC Datuk Ahmad Najmi gembira dengan persembahan walaupun pasukan menduduki tempat ke-16 Piala Dunia.
  • Speedy Tigers diundi dalam Kumpulan B bersama Pakistan, China, Oman, Uzbekistan dan Thailand.
  • Pendekatan taktikal baharu Carolan, dianggap antara pakar terbaik dunia, memberi keyakinan menghadapi cabaran peringkat kumpulan.
  • Skuad hoki wanita menyasarkan kemaraan ke separuh akhir Sukan Asia 2026 dan akan berdepan Kazakhstan pada 18 September.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak berkata keyakinan itu turut disokong statistik prestasi yang ditunjukkan pasukan sejak Carolan mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih pada Mac lalu.

“Saya amat gembira dengan persembahan mereka, walaupun kita dapat tempat ke-16 di World Cup dan selain daripada itu, saya rasa mungkin persediaan yang telah kita buat” katanya semasa sidang media di Stadium Hoki Nasional di sini hari ini.

Pada Sukan Asia 2026, Speedy Tigers diundi dalam Kumpulan B bersama Pakistan, China, Oman, Uzbekistan dan Thailand.

Ujar beliau, pendekatan permainan baharu yang diterapkan Carolan, yang turut disifatkan sebagai antara pakar taktikal terbaik dunia, memberi keyakinan kepada pasukan untuk menghadapi cabaran saingan peringkat kumpulan.

Beliau berkata skuad lelaki telah mendaftarkan barisan pemain bagi menghadapi temasya itu, kecuali Syed Syafiq Syed Cholan yang mengalami kecederaan.

Sementara itu, beliau berkata skuad hoki wanita negara menyasarkan kemaraan ke separuh akhir Sukan Asia 2026 dengan Kazakhstan menjadi lawan pertama pada 18 September.

Beliau turut meminta peminat hoki tanah air terus memberikan sokongan kepada pasukan negara serta menghargai pengorbanan pemain yang membawa nama Malaysia di pentas antarabangsa.

“Saya ucapkan terima kasihlah kepada semua penyokong. Yang kata baik, yang kata buruk. Sebab semua kata-kata anda itu memberikan semangat untuk kita, untuk jurulatih, dan untuk para pemain memberikan persembahan yang terbaik selepas ini”

Turut hadir pada sidang media berkenaan adalah Jurulatih Skuad Hoki Wanita, C.R Kumar, Jurulatih Pasukan Lelaki Brendon Carolan dan Pengurus Pasukan Hoki Wanita, Rogayah Mohamad.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.