
KUALA LUMPUR, 11 September – Rakuten Trade Sdn Bhd mengekalkan sasaran akhir 2026 bagi indeks penanda aras Bursa Malaysia, FBM KLCI pada 1,770 mata, disokong prospek pertumbuhan pendapatan daripada pelaburan dalam infrastruktur tenaga dan grid elektrik negara.
- Belanjawan 2027 menjadi faktor penentu pencapaian sasaran pasaran, khususnya peruntukan bagi peralihan tenaga dan pembangunan grid.
- Pelaburan berterusan dalam infrastruktur tenaga dan kenaikan perbelanjaan modal grid dijangka memacu pertumbuhan pendapatan sehingga 2030.
- Risiko termasuk peruntukan belanjawan rendah, kelewatan projek, aliran keluar dana asing serta ketidaktentuan kadar faedah global.
Firma broker ekuiti digital itu berkata, sasaran berkenaan mengambil kira jangkaan Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan pada 9 Oktober ini, khususnya peruntukan berkaitan peralihan tenaga dan pembangunan grid seperti yang dirancang.
Menurutnya, meskipun pasaran mencatat jualan bersih pelabur asing sekitar RM2 bilion pada Ogos, sokongan pelabur domestik terus membantu pasaran, manakala keputusan kewangan terkini menunjukkan pertumbuhan pendapatan kekal kukuh dengan sektor utiliti antara penyumbang utama.
“Pelaburan berterusan negara dalam infrastruktur tenaga menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan pendapatan sehingga akhir tahun dan seterusnya,” katanya.
Rakuten Trade berkata, program perbelanjaan modal grid Tenaga Nasional Bhd (TNB) meningkat kepada RM43 bilion bagi tempoh 2025 hingga 2027 berbanding RM21 bilion antara 2022 dan 2024.
Pelaburan itu dijangka terus berkembang sehingga 2030 bagi menaik taraf grid nasional dalam menyokong penggunaan tenaga boleh baharu, penyimpanan bateri serta peningkatan permintaan elektrik, termasuk daripada pusat data.
Firma itu berkata, Belanjawan 2027 menjadi antara faktor penting yang akan mempengaruhi pencapaian sasaran FBM KLCI pada 1,770 mata.
“Sasaran itu akan disemak semula sekiranya perbelanjaan berkaitan peralihan tenaga ditangguhkan atau peruntukan pembangunan grid jauh lebih rendah daripada jangkaan,” katanya.
Dalam pada itu, Rakuten Trade menjangkakan antara risiko terhadap pasaran ialah peruntukan Belanjawan yang lebih rendah daripada jangkaan, kelewatan projek, aliran keluar dana asing serta ketidaktentuan kadar faedah global.