
TANJUNG MALIM, 11 September – Industri automotif merupakan antara pemangkin penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara, termasuk menyokong peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta sasaran penyerapan kenderaan elektrik (EV) nasional.
- Menjadikan Malaysia hab pengeluaran dan eksport kenderaan generasi baharu serta kenderaan mesra alam selaras NIMP 2030 dan NAP 2020
- Pemerkasaan sektor automotif berteknologi tinggi menjana pekerjaan bernilai tinggi, pemindahan teknologi dan pembangunan modal insan tempatan
- Tumpuan terhadap pembaikan dasar fiskal, pembangunan infrastruktur teknologi, pengukuhan rantaian bekalan tempatan dan input industri untuk Belanjawan 2027
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, usaha memperkukuh industri berkenaan selaras dengan sasaran Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Dasar Automotif Negara (NAP 2020) untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran dan eksport kenderaan generasi baharu (NxGV) serta kenderaan mesra alam di rantau ASEAN.
“Pemerkasaan sektor automotif berteknologi tinggi bukan sahaja berupaya menjana peluang pekerjaan bernilai tinggi dan memperkukuh daya saing eksport negara, malah menjadi pemangkin kepada pemindahan teknologi serta pembangunan modal insan tempatan.
“Cadangan dan maklum balas daripada pemain industri pada hari ini amat bernilai untuk meneliti penambahbaikan dasar, insentif dan langkah fiskal bawah Belanjawan 2027,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi libat urus bersama pemain industri automotif tempatan dan antarabangsa bersempena Jelajah Belanjawan 2027, di Tanjung Malim, hari ini.
Menurut Datuk Seri Amir Hamzah, antara perkara yang diberi tumpuan ialah penambahbaikan dasar dan langkah fiskal, pembangunan infrastruktur serta teknologi, pengukuhan rantaian bekalan tempatan dan pembangunan modal insan.
Katanya, pertumbuhan industri yang lebih produktif dan berteknologi tinggi dijangka memberi limpahan ekonomi menerusi penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi, peningkatan aktiviti perniagaan, pengukuhan eksport serta pengembangan nilai tambah domestik.
Dalam jangka panjang, perkembangan aktiviti ekonomi itu turut berpotensi menyumbang kepada pengukuhan asas hasil negara.