
KUCHING, 11 September – Kandungan video dijangka terus mendominasi penggunaan media dalam tempoh empat tahun akan datang, dengan kira-kira 80 peratus penggunaan media dijangka didorong oleh kandungan berkenaan.
- Perubahan trend pengguna cenderung kepada kandungan ringkas dan mudah diakses.
- Kandungan perlu dekat dengan hati dan minda audiens; platform bukan utama.
- Tempoh perhatian audiens semakin singkat, dianggarkan sekitar 21 saat, cabaran kepada pengamal media.
- Pengamal media perlu menyesuaikan pendekatan komunikasi untuk kekal relevan, berkesan dan berteraskan kepercayaan.
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ashwad Ismail berkata, perkembangan itu selari dengan perubahan trend pengguna yang semakin cenderung kepada kandungan ringkas dan mudah diakses.
Menurutnya, berdasarkan data yang dikumpulkan, kandungan video dijangka menjadi pilihan utama pengguna media dari 2026 hingga 2030.
“Berdasarkan data yang saya kumpulkan, 80 peratus penggunaan media bagi tempoh empat tahun akan datang, bermula 2026 hingga 2030, akan didominasi oleh kandungan video. Jadi, itulah realiti dunia hari ini. Kita tidak boleh lari daripada video.
“Platform bukanlah perkara utama. Sebaliknya, yang lebih penting ialah kandungan yang dekat dengan hati dan minda audiens,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama secara maya bertajuk “Public Service Media and Sustainable Global Communication: Strengthening Public Trust in the Digital Broadcasting Era” bersempena Konferensi Antarabangsa Komunikasi dan Media Ke-10 (i-COME’26) di Auditorium Muzium Budaya Borneo, Kuching.
Datuk Ashwad berkata, perubahan corak penggunaan media turut menyebabkan tempoh perhatian audiens terhadap kandungan berbentuk bacaan semakin singkat, kini dianggarkan sekitar 21 saat.
Katanya, situasi itu menjadi cabaran kepada pengamal media untuk menghasilkan kandungan yang bukan sahaja mampu menarik perhatian, tetapi membina kepercayaan audiens.
Menurut beliau, aspek paling penting bukan semata-mata platform yang digunakan, sebaliknya kandungan yang mampu mendekati hati dan minda masyarakat.
“Dalam landskap media yang terus berubah, pengamal media perlu menyesuaikan pendekatan komunikasi bagi memastikan mesej yang disampaikan kekal relevan, berkesan dan berteraskan kepercayaan,” katanya.