Kepercayaan masyarakat cabaran utama industri media era AI – Datuk Ashwad

Datuk Ashwad Ismail / Foto BERNAMA

KUCHING, 11 September – Kepercayaan masyarakat menjadi cabaran utama industri media dalam menghadapi perubahan landskap komunikasi, khususnya ketika dunia memasuki era kecerdasan buatan (AI).

RINGKASAN BERITA AI
  • Lambakan maklumat di pelbagai platform menyulitkan usaha media menarik perhatian dan memastikan kandungan dipercayai.
  • Perkembangan teknologi AI menyukarkan masyarakat membezakan kandungan manusia dan dijana mesin, meningkatkan kekeliruan.
  • Risiko penyebaran maklumat palsu meningkat dan boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap media.
  • Media perlu menghasilkan kandungan yang menyentuh hati dan minda agar mesej sampai serta mendapat kepercayaan khalayak.

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ashwad Ismail berkata, lambakan maklumat di pelbagai platform menjadikan usaha media untuk menarik perhatian khalayak, selain memastikan kandungan yang disampaikan dipercayai, semakin mencabar.

Menurut beliau, perkembangan teknologi AI turut menyukarkan masyarakat membezakan kandungan yang dihasilkan manusia dengan kandungan yang dijana mesin.

Keadaan itu sekali gus meningkatkan risiko penyebaran maklumat palsu dan boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap kandungan media.

“Bagaimana kita memastikan setiap perkara yang kita sampaikan ketika berkomunikasi dapat dipercayai oleh masyarakat, atau dengan kata lain, apabila mereka menerima dan menggunakan kandungan yang kita sampaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama secara maya bertajuk “Public Service Media and Sustainable Global Communication: Strengthening Public Trust in the Digital Broadcasting Era”, di Auditorium Muzium Budaya Borneo, Kuching.

Program itu diadakan bersempena Konferensi Antarabangsa Komunikasi dan Media Ke-10 (i-COME’26) dan dirasmikan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Abdullah Saidol.

Sehubungan itu, Datuk Ashwad berkata media perlu menghasilkan kandungan yang mampu menyentuh hati dan minda masyarakat bagi memastikan mesej bukan sahaja sampai kepada khalayak, malah mendapat kepercayaan mereka.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.