MCMC kemuka lebih sejuta permintaan turunkan kandungan dalam talian

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 10 September  – Lebih sejuta permintaan penurunan kandungan dikemukakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kepada platform-platform dalam talian bagi tempoh 1 Januari 2025 hingga 31 Ogos 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hampir 91 peratus permintaan penurunan melibatkan penipuan dan perjudian dalam talian haram.
  • Kadar pematuhan platform hampir 93 peratus, namun lebih 65,000 kandungan masih belum diturunkan.
  • Kerajaan tegas; platform mesti proaktif menutup akaun palsu, bendung penjualan dadah dan judi, kementerian akan mempergiat pemantauan.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata hampir 91 peratus daripada keseluruhan permintaan penurunan itu melibatkan kandungan berkaitan penipuan serta perjudian dalam talian haram.

Selain itu katanya kadar pematuhan platform turut mencapai hampir 93 peratus namun masih terdapat lebih 65,000 kandungan yang belum diturunkan.

“Kita telah memanggil platform terlibat pada Isnin lalu dan saya belum diberi taklimat hasil daripada pertemuan itu.

“Pendirian Malaysia tegas bahawa kita tidak akan berganjak. Platform perlu lebih proaktif bukan sekadar menurunkan kandungan, malah membendung aktiviti haram seperti penjualan dadah dan judi yang berselindung di sebalik akaun palsu,” tegasnya.

Beliau berkata, taktik pihak tertentu yang menggunakan istilah atau kaedah lain bagi menyembunyikan aktiviti penjualan barangan terlarang menjadi antara cabaran utama dalam menangani kemudaratan dalam talian.

“Mereka tidak menggunakan nama saintifik seperti jenis dadah fentanyl sebaliknya guna perkataan tertentu. Saya tidak boleh menyatakan di sini nama tertentu itu sebab nanti platform akan melesapkan perkataan itu.

“Setiap hari saya akan membuat semakan sama ada platform masih membolehkan barangan terlarang ini dijual dalam platform mereka atau atau tidak,” jelasnya.

Justeru itu katanya kementerian akan terus mempergiat pemantauan bagi memastikan barangan terlarang termasuk dadah, tidak dijual menerusi platform-platform dalam talian.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan pada Persidangan M360 ASEAN di sini hari ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.