MAHA 2026 : MARDI perkukuh pemindahan teknologi, catat RM6.27 juta nilai kerjasama

MAHA 2026 menjadi platform strategik dalam memperkukuh kerjasama industri juga mengkomersialkan teknologi dan inovasi/Foto MARDI

SERDANG, 8 September – Penyertaan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dalam Pameran Pertanian, Hortikultur & Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 baru-baru ini berjaya merekodkan nilai jualan sebanyak RM241,391 dengan 73,656 pengunjung.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sembilan MOU/MOA dijalin, lapan bernilai RM6.27 juta, menunjukkan pengkomersialan dan kerjasama industri.
  • Laman Agrofood Sayuran, Herba dan Kelulut menjadi ruang interaktif pemindahan ilmu dan teknologi.
  • Plot bawang merah dan jagung bijian dipamer, memaparkan teknologi serta amalan pengeluaran menyokong makanan tempatan.
  • Sesi demonstrasi, teknologi dan aktiviti interaktif memperlihatkan rantaian nilai; pelancaran varieti baru Limau Bali MELoMAX 1, MELoMAX 2 dan Ubi Keledek V8.

MARDI dalam kenyataan menyebut sebanyak sembilan Memorandum Persefahaman (MOU) dan Memorandum Perjanjian (MOA) dijalinkan. Lapan daripadanya melibatkan nilai keseluruhan RM6.27 juta, manakala satu lagi merupakan kerjasama tanpa nilai kewangan.

“Dari sudut pengkomersialan, pencapaian sembilan MOU/MOA, termasuk lapan kerjasama bernilai RM6.27 juta, memperlihatkan potensi MAHA sebagai medan strategik untuk mempertemukan MARDI dengan pemain industri, syarikat dan usahawan bagi meneroka peluang pembangunan serta pengembangan teknologi dan inovasi,” menurut kenyataan itu.

Antara tumpuan pengunjung di ruang pameran MARDI tahun ini ialah Laman Agrofood Sayuran, Herba dan Kelulut yang menjadi ruang interaktif pemindahan ilmu dan teknologi.

Pengunjung juga berpeluang melihat aplikasi teknologi pertanian secara langsung menerusi Laman Sayuran, House of Cili, Laman Herba dan Laman Kelulut, selain mendapatkan penerangan serta khidmat nasihat daripada penyelidik MARDI.

Pada MAHA kali ini, MARDI turut mengetengahkan Plot Tanaman Bawang Merah dan Plot Tanaman Jagung Bijian, sekali gus memberi peluang kepada pengunjung melihat sendiri perkembangan tanaman serta teknologi dan amalan pengeluaran yang berpotensi menyokong pengeluaran makanan tempatan.

Selain itu pelbagai sesi perkongsian, demonstrasi teknologi dan aktiviti interaktif diadakan meliputi pengurusan penyakit tanaman, teknologi tanaman makanan, varieti baharu, pengeluaran sayuran, jagung bijian, bawang, herba serta teknologi baja pelepasan terkawal (CRF).

Demonstrasi penyediaan makanan dan produk berasaskan hasil pertanian pula memperlihatkan potensi penyelidikan MARDI sepanjang rantaian nilai daripada pengeluaran hingga penghasilan produk bernilai tambah.

Dalam memperluas akses kepada hasil penyelidikan, Laman Agromadani menghimpunkan teknologi, produk dan hasil inovasi daripada stesen-stesen MARDI di seluruh negara untuk dipamerkan dan dijual kepada pengunjung.

Inisiatif ini membuka ruang pasaran dan menghubungkan hasil penyelidikan MARDI dengan pengguna secara lebih dekat.

Selain itu, pelancaran varieti baharu seperti Limau Bali MELoMAX 1 dan MELoMAX 2 serta Ubi Keledek V8 turut memperkukuh usaha MARDI dalam menterjemahkan hasil penyelidikan kepada inovasi yang memberi nilai kepada petani, industri dan pengguna.

MAHA 2026 berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September lalu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.