
KEPALA BATAS, 8 September – Seorang penunggang motosikal berusia 19 tahun cedera parah pada bahagian leher selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kampung Permatang Haji Hasan, Kepala Batas, petang tadi.
- Motosikal tersepit di bawah sebuah kereta, menyukarkan proses penyelamatan.
- Pasukan BBP Kepala Batas tiba dalam tujuh minit dan menjalankan operasi pengeluaran mangsa.
- Mangsa berjaya dikeluarkan dan dihantar ke Hospital Kepala Batas. Operasi tamat 4.12 petang, melibatkan lapan anggota.
Dalam kejadian kira-kira 2.16 petang itu, motosikal yang ditunggang mangsa tersepit di bawah kereta berkenaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 2.16 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas tiba di lokasi tujuh minit kemudian sebelum menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Mangsa berjaya dikeluarkan dan dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk menerima rawatan.
Operasi menyelamat melibatkan lapan anggota dan ditamatkan sepenuhnya pada pukul 4.12 petang.