KPDN Labuan kompaun tiga peniaga gagal pamer tanda harga

Penguat kuasa KPDN memeriksa tanda harga jualan di sebuah premis perniagaan/Foto KPDN Labuan

LABUAN, 8 September – Tiga peniaga dikompaun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan kerana gagal mempamerkan tanda harga jualan tunai di premis masing-masing, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peniaga didapati gagal mempamer tanda harga jualan tunai, melanggar Perintah Penandaan Harga 2020 di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723)
  • Kesalahan dikesan dua pasukan penguatkuasa di kawasan luar bandar; melibatkan dua premis runcit dan satu premis makanan
  • Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun atau kedua-duanya; orang ramai boleh buat aduan rasmi KPDN

Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain, berkata kesalahan itu dikesan dua pasukan penguat kuasa di kawasan luar bandar hasil aduan pengguna.

“Dua kes membabitkan premis perniagaan runcit, manakala satu lagi membabitkan premis makanan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua peniaga terbabit didapati melanggar Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020 di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723].

“Peniaga diwajibkan mempamerkan tanda harga bagi membolehkan pengguna mendapatkan maklumat harga yang jelas sebelum membuat pembelian dan perbandingan harga, selain mengelakkan kekeliruan ketika urusan jual beli,” katanya.

Penguat kuasa KPDN memeriksa tanda harga jualan di sebuah premis perniagaan/Foto KPDN Labuan

Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan ketidakpatuhan peniaga boleh menyalurkannya menerusi saluran aduan rasmi KPDN untuk tindakan lanjut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.