RCI Tabung Haji: Bekas menteri dilepaskan dengan jaminan SPRM

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 8 September – Seorang bekas menteri yang direman bagi membantu siasatan berhubung isu Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) telah dilepaskan dengan jaminan hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bekas menteri hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya dan ditahan pada 2 Sept sekitar 4.30 petang.
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
  • Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman mengesahkan perkara itu.
  • SPRM memperoleh perintah reman terhadap 11 individu termasuk bekas pengerusi dan bekas CEO TH.

Menurut sumber, lelaki berusia 60-an itu menjalani tempoh reman tujuh hari hingga hari ini sebelum dilepaskan selepas tempoh tersebut tamat.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memaklumkan bekas menteri berkenaan dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Sebelum ini, bekas menteri itu dilaporkan ditahan pada 4.30 petang, 2 Sept lepas ketika hadir untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya bagi membantu siasatan berhubung pendedahan Laporan RCI TH.

Abd Halim sebelum ini memaklumkan bahawa kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Dalam perkembangan berkaitan, SPRM sebelum ini memperoleh perintah reman terhadap 11 individu bagi membantu siasatan berhubung isu Laporan RCI TH.

Antara individu yang telah direman termasuk bekas pengerusi TH, bekas ketua pegawai eksekutif (CEO), seorang bekas menteri serta beberapa anggota pengurusan kanan dan individu yang mempunyai kaitan dengan syarikat berkaitan.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.