MIDA terus perkukuh usaha tarik pelaburan ke Pantai Timur

Foto MIDA

KUANTAN, 8 September – Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) terus memperkukuh usaha menarik dan memudah cara pelaburan ke Pantai Timur.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seminar Pelaburan Wilayah Pantai Timur 2026 kerjasama strategik Pahang, Kelantan, Terengganu dan lebih 10 agensi buka peluang kepada pelabur dan syarikat tempatan.
  • Tiga negeri merekodkan RM61.4 bilion pelaburan diluluskan 1,746 projek dijangka mewujudkan lebih 30,000 peluang pekerjaan.
  • MIDA akan terus mempergiat usaha dengan sokongan agensi kerajaan untuk merealisasikan minat pelaburan dan menyokong pembangunan ekonomi Pantai Timur.

Ini dilaksana menerusi Seminar Pelaburan Wilayah Pantai Timur 2026 hasil kerjasama strategik dengan Kerajaan Negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu, serta lebih 10 agensi kerajaan, bagi membuka lebih banyak peluang kepada pelabur dan syarikat tempatan.

Seminar yang berlangsung di Kuantan itu, menghimpunkan lebih 400 peserta, antaranya Perusahaan Kecil dan Sederhana, pelabur, pemain industri, institusi kewangan serta agensi kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, kehadiran pelabur, syarikat tempatan dan agensi kerajaan di bawah satu bumbung, mencerminkan komitmen untuk mengetengahkan dan merealisasikan peluang pelaburan, serta memperkukuh ekosistem industri di Pantai Timur.

“Dari tahun 2021 hingga Jun 2026, Pahang, Kelantan dan Terengganu merekodkan RM61.4 bilion pelaburan diluluskan, melibatkan 1,746 projek yang dijangka mewujudkan lebih 30,000 peluang pekerjaan.

“Ini sekali gus menunjukkan potensi serta peluang pelaburan yang luas kepada para pelabur asing dan domestik di Pantai Timur,” katanya menerusi kenyataan.

MIDA tegasnya, akan terus mempergiat usaha mengetengahkan peluang pelaburan di Pantai Timur, dengan sokongan berterusan agensi kerajaan untuk merealisasikan minat dan hasrat pelaburan, serta memastikan pembangunan di wilayah itu terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.