
KUALA LUMPUR, 8 September – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan empat petugas kesihatan berada dalam helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (Flying Doctor Service) yang dilaporkan terhempas berhampiran Lapangan Terbang (STOLport) Long Lellang, Sarawak, petang tadi.
- Status semua kru dan punca kejadian masih belum dapat dipastikan.
- Pasukan mencari dan menyelamat (SAR), pasukan perubatan dan JBPM sudah berada di lokasi menjalankan operasi.
- KKM sedang menghubungi waris serta ahli keluarga petugas terlibat untuk memberikan sokongan sewajarnya.
- KKM memohon media dan orang awam tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata keempat-empat petugas itu terdiri daripada seorang Pegawai Perubatan, seorang Penolong Pegawai Perubatan (PPP) dan dua jururawat yang sedang menjalankan tugas rasmi.
“Penerbangan yang berlepas dari Miri itu dikendalikan seorang juruterbang selain membawa empat petugas kesihatan KKM berkenaan.
“Setakat ini, status kesemua kru dan penumpang serta punca kejadian masih belum dapat dipastikan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Pada masa sama, katanya, kementerian sedang menghubungi waris dan ahli keluarga petugas yang terlibat bagi memberikan sokongan sewajarnya.
“Memandangkan operasi SAR masih berjalan, saya memohon kerjasama pihak media dan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih demi menghormati perasaan ahli keluarga mangsa,” katanya.
Tambah beliau, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bersama pasukan perubatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudah berada di lokasi kejadian dan operasi sedang giat dijalankan.
Beliau berkata KKM sedang memantau perkembangan kejadian dengan rapat serta bekerjasama dengan pihak berkuasa keselamatan, pasukan penyelamat dan agensi penerbangan berkaitan bagi mendapatkan maklumat tepat dan terkini.
Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan selepas mendapat pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa, katanya.