Krasznahorkai terima anugerah merit tertinggi Jerman

Foto Reuters

BERLIN, 8 September – Penulis Hungary, László Krasznahorkai, yang memenangi Hadiah Nobel Kesusasteraan 2025, menerima Grand Cross of Merit with Star of the Order of Merit daripada Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeier, pada Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Anugerah itu mengiktiraf sumbangan sasteranya dan hubungan rapat dengan Jerman.
  • Krasznahorkai mengimbas pengalamannya tiba di Jerman 1987 melalui biasiswa DAAD, merasai kebebasan politik dan demokrasi.
  • Pengalaman Eropah Tengah membentuk karya beliau; pengembaraan ke Asia Timur mengembangkan pengaruh sastera dan tema tempatan.

Anugerah berkenaan disampaikan dalam satu majlis yang dihoskan Steinmeier, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan Krasznahorkai dalam dunia kesusasteraan serta hubungan rapatnya dengan Jerman.

Dalam ucapan ringkas pada majlis itu, Krasznahorkai mengimbas pengalamannya ketika pertama kali tiba di Jerman pada 1987 sebagai penerima biasiswa Perkhidmatan Pertukaran Akademik Jerman (DAAD).

“Pada 1987, sebagai penerima biasiswa DAAD, saya datang ke Jerman. Ketika itulah saya pertama kali merasai udara dan rasa kebebasan politik serta demokrasi,” katanya.

Krasznahorkai turut mengucapkan terima kasih kepada Jerman kerana memberinya pengalaman pertama mengenai “kebebasan politik dan demokrasi”.

Beliau berpindah dari Hungary yang ketika itu masih di bawah pemerintahan komunis ke Berlin Barat pada 1987, dan menggambarkan suasana demokrasi yang ditemuinya sebagai sesuatu yang belum pernah dialaminya sebelum itu.

Dilahirkan pada 1954 di Gyula, sebuah bandar kecil di tenggara Hungary berhampiran sempadan Romania, Krasznahorkai merupakan penulis Hungary kedua memenangi Hadiah Nobel Kesusasteraan selepas Imre Kertész pada 2002.

Karya beliau banyak dipengaruhi pengalaman di Eropah Tengah ketika rantau itu berada di ambang kejatuhan komunisme. Novel-novelnya sering membawa pembaca merentasi perkampungan dan pekan terpencil di Eropah Tengah, termasuk Hungary dan Jerman.

Pengaruh itu kemudiannya berkembang ke Asia Timur, khususnya China dan Jepun, selepas pengembaraannya ke rantau berkenaan meninggalkan kesan mendalam terhadap penulisannya.

Pengiktirafan Jerman itu sekali gus menambah satu lagi penghormatan antarabangsa buat Krasznahorkai, selepas kejayaannya meraih Nobel Kesusasteraan pada 2025.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.