Akta baharu pendidikan tinggi: Pandangan penasihat undang-undang UA diteliti – Zambry

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir menerima kunjungan rakan-rakan penasihat undang-undang daripada universiti awam./ FB DS Dr. Zambry Abd Kadir

KUALA LUMPUR, 4 Sept – Pandangan serta kepakaran penasihat undang-undang universiti awam sedang diteliti dalam usaha merangka akta dan kerangka perundangan baharu bagi pendidikan tinggi negara, termasuk berkaitan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

RINGKASAN BERITA AI
  • Kepentingan pandangan kluster dan pemegang taruh untuk memastikan kerangka perundangan kukuh, jelas dan praktikal.
  • Peralihan perlu dilaksanakan tersusun tanpa menjejaskan pentadbiran dan operasi universiti.
  • Proses perangkaan akan dibuka inklusif dan menyeluruh bagi memperkukuh autonomi, akauntabiliti, tadbir urus dan kebebasan bertanggungjawab.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, pandangan daripada semua kluster dan pemegang taruh dalam ekosistem pendidikan tinggi penting bagi memastikan kerangka perundangan baharu yang dibangunkan bersifat kukuh, jelas dan praktikal.

Beliau berkata, perkara itu antara yang dibincangkan ketika menerima kunjungan penasihat undang-undang daripada universiti awam yang mempunyai pengalaman serta pengetahuan mendalam dalam aspek perundangan, tadbir urus dan operasi institusi.

“Dalam pertemuan ini, saya menerima pelbagai pandangan, maklum balas serta cadangan penting berkaitan kerangka perundangan baharu yang sedang dirangka, termasuk perkara yang perlu dipertimbangkan bagi memastikan peralihan dapat dilaksanakan dengan tersusun tanpa menjejaskan kelangsungan pentadbiran dan operasi universiti,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir menerima kunjungan rakan-rakan penasihat undang-undang daripada universiti awam./ FB DS Dr. Zambry Abd Kadir

Menurut beliau lagi, pengalaman penasihat undang-undang universiti awam dalam mengendalikan pelbagai isu perundangan di peringkat institusi amat penting bagi membantu kerajaan membentuk akta yang memenuhi keperluan sebenar ekosistem pendidikan tinggi.

Katanya, proses merangka kerangka perundangan baharu itu akan terus dilaksanakan secara terbuka, inklusif dan menyeluruh dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan.

“Setiap pandangan akan diteliti agar kerangka baharu yang dibangunkan dapat memperkukuh autonomi, akauntabiliti, tadbir urus serta kebebasan yang bertanggungjawab di institusi pendidikan tinggi,” katanya.

Beliau turut menghargai kesediaan penasihat undang-undang universiti awam berkongsi pandangan dan kepakaran dalam proses tersebut.

Katanya, segala input yang diterima akan menjadi antara pertimbangan penting dalam usaha membentuk masa depan pendidikan tinggi negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.