
KUALA LUMPUR, 4 September – Pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) wajar dikawal selia dengan lebih ketat menerusi pindaan Akta Tabung Haji bagi memastikan institusi itu ditadbir secara lebih berhemah dan telus.
- Cadangan melibatkan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bank Negara Malaysia dalam mekanisme kawal selia Tabung Haji.
- Pastikan pengurusan TH sentiasa tertakluk kepada pemantauan dan pengawasan berterusan.
- Pembaharuan perlu menekankan tadbir urus, pengurusan risiko dan pematuhan piawaian kewangan yang lebih kukuh.
- Sokong pengurusan baharu melaksanakan penambahbaikan untuk perkuat pengurusan dana dan lindungi kepentingan pendeposit.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, antara cadangan yang sedang dipertimbangkan ialah memperkukuh mekanisme kawal selia TH dengan penglibatan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bank Negara Malaysia (BNM).
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan pengurusan TH sentiasa tertakluk kepada pemantauan dan tidak terlepas daripada kawal selia seperti yang berlaku sebelum ini.
“Sekarang ini, langkah-langkah telah diambil oleh pengurusan baharu Tabung Haji yang diketuai Tan Sri Rashid Husin. Itu bagi saya sesuai. Saya sudah mendengar taklimat daripada mereka.
“Saya juga menyokong langkah tersebut, termasuk beberapa cadangan pindaan kepada Akta Tabung Haji supaya pengurusannya dikawal dengan lebih ketat oleh sama ada Suruhanjaya Sekuriti atau Bank Negara dan tidak terlepas daripada pemantauan seperti yang berlaku sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Bukit Indah, hari ini.
Datuk Seri Anwar berkata, langkah memperkemas kerangka perundangan dan kawal selia itu juga penting bagi melindungi kepentingan pendeposit TH.
Menurutnya, sebarang pembaharuan perlu mengambil kira aspek tadbir urus, pengurusan risiko serta pematuhan terhadap piawaian kewangan yang lebih kukuh.
Perdana Menteri turut berkata, pengurusan baharu TH perlu diberikan ruang untuk melaksanakan langkah penambahbaikan, termasuk memperkukuh keupayaan institusi itu dalam mengurus dana serta menjaga kepentingan pendeposit.