
KUALA LUMPUR, 4 September – Cadangan beberapa pemimpin parti politik agar Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan lebih awal akan diteliti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
- Fokus kerajaan kekal pada agenda ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
- Komitmen tegas memperkasakan usaha membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
- Siasatan perlu dihormati; mereka yang memberi kerjasama tidak wajar dikenakan stigma baju oren.
- Bukan soal kaum; ini soal selamatkan negara dan tadbir urus yang bersih.
Beliau bagaimanapun menegaskan, buat masa ini fokus kerajaan adalah kepada agenda ekonomi, kesejahteraan rakyat serta usaha membersihkan negara daripada amalan salah guna kuasa dan rasuah.
“Itu cadangan. Saya boleh teliti, tapi yang memutuskan itu saya akan fikir dulu, dan kemudian saya akan persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Sekarang ini, fokus ekonomi, fokus kesejahteraan rakyat, dan fokus untuk bersihkan negara daripada amalan salah guna kuasa dan sakau. Bagi saya, fokus ini yang penting.
“Keadaan yang ada sekarang, kerajaan itu masih stabil, kita tumpu yang ini. Jangan gusar. Orang yang ada amanah, yang bersih, tidak harus takut dengan langkah-langkah diambil oleh SPRM, ataupun PDRM, atau LHDN. Kita tak boleh terus biarkan keadaan sekarang,” katanya kepada pemberita selepas Solat
Jumaat di Masjid Bukit Indah, di sini.
Datuk Seri Anwar turut menegaskan kerajaan masih stabil dan beliau mahu mandat yang diberikan rakyat digunakan untuk melaksanakan pentadbiran dengan baik, termasuk memperkukuh usaha membanteras rasuah serta penyalahgunaan kuasa.
“Dan semalam saya juga sampaikan, sebelum pendakwaan, atau sebelum dihadapkan dan didakwa, baju oren pun tak payah. Kalau tanya untuk siasat, siasat dulu. Kalau ada kes untuk didakwa, itu saya serah kepada badan penguat kuasa tentang baju colour (warna) apa.
“Tapi kalau setakat ini, saya hormati pandangan, kerana ada orang yang rasanya bagi kerjasama dalam siasatan, tak perlulah dikenakan baju oren, kerana akan bagi persepsi yang berbeda.
“Tetapi saya nak tegaskan, selagi saya pegang amanah ini, dan sudah sampai, kita ambil pendirian yang tegas. Masyarakat Melayu ke, Cina ke, India dari Sabah atau Sarawak, ini bukan soal kaum. Ini soal selamatkan negara,” katanya.