Jerebu Sarawak: Darurat bergantung situasi – PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab pertanyaan pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bukit Indah – foto Bernama

KUALA LUMPUR, 4 September – Kerajaan belum membuat keputusan berhubung kemungkinan pengisytiharan darurat susulan keadaan jerebu yang semakin teruk di Sarawak, sebaliknya akan terus memantau perkembangan sebelum memutuskan tindakan lanjut.

RINGKASAN BERITA AI
  • Utamakan langkah keselamatan dan pengurusan risiko termasuk penutupan sekolah serta pejabat kecuali agensi penting.
  • Kerajaan berhubung rapat dengan Kerajaan Negeri Sarawak dan Premier Abang Johari untuk koordinasi tindakan.
  • Langkah termasuk pembenihan awan dipertimbangkan sebagai usaha mengatasi jerebu.
  • Keputusan besar termasuk pengisytiharan darurat akan dibuat secara berperingkat bergantung perkembangan semasa.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keutamaan ketika ini adalah memastikan langkah keselamatan dan pengurusan risiko dilaksanakan, termasuk penutupan sekolah serta pejabat di kawasan terjejas, manakala agensi berkaitan keselamatan dan perkhidmatan penting terus beroperasi.

“Kita sedang berhubung dengan kerajaan negeri, Premier (Sarawak) (Tan Sri) Abang Johari (Tun Openg) dan tentunya langkah-langkah keselamatan diambil.. termasuk penutupan sekolah dan pejabat, kecuali beberapa agensi yang menjaga keselamatan.

“Jadi (marilah kita) berdoa kepada Allah SWT.. mudah-mudahan dapat diselesaikan dalam keadaan singkat. Tapi semua langkah yang perlu diambil akan dilaksanakan termasuk pembenihan awan.

“Walaupun ini kesan daripada perkembangan di tempat lain, (negara jiran), kita terpaksa terima dan bersabar. Saya doakan keselamatan bagi rakyat Serian dan juga Sarawak serta beberapa kawasan lain yang terkesan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Bukit Indah, di sini.

Datuk Seri Anwar memberi jaminan kerajaan mengambil pendekatan berperingkat dalam menangani situasi berkenaan, dengan keputusan lebih besar termasuk pengisytiharan darurat tidak dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya bergantung kepada perkembangan semasa.

Pendekatan itu, katanya turut memperlihatkan keperluan penyelarasan rapat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak, khususnya dalam menentukan tahap tindakan yang diperlukan berdasarkan kesan jerebu terhadap kesihatan awam, operasi kerajaan dan keselamatan penduduk.

Ditanya mengenai kemungkinan darurat diisytiharkan, Perdana Menteri berkata, perkara itu akan dibincangkan kemudian selepas beliau mendapatkan perkembangan terkini.

“Itu, itu kita bincang kemudian. Selepas ini pun saya akan pantau lagi,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.