SUKIPT: Khiew Hoe Yean raih dua emas, persiapan ke Sukan Asia

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 September – Perenang kebangsaan, Khiew Hoe Yean membuka kempen Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2026 dengan dua pingat emas buat Universiti UCSI pada hari pertama saingan renang, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hoe Yean menang emas acara 200 meter kuak lentang dengan catatan 2:05.90.
  • Beliau bersama kuartet UCSI juarai 4x200m gaya bebas berganti-ganti dengan catatan 8:16.60.
  • Anggap SUKIPT persiapan penting untuk Sukan Asia dan pemilihan Sukan Universiti ASEAN sambil mengurus peperiksaan akhir.

Hoe Yean meraih emas pertama dalam acara 200 meter (m) kuak lentang lelaki dengan catatan 2 minit 5.90 saat di Kolam Renang Universiti Malaya.

Joel Ling Thai Yu dari Universiti Monash meraih perak dengan 2:16.30, manakala Muhammad Arif Zulfikry membawa pulang gangsa selepas mencatat 2:19.70.

Perenang berusia 24 tahun itu kemudian membantu kuartet UCSI menjuarai acara 4x200m gaya bebas berganti-ganti dengan catatan 8:16.60. UiTM meraih perak dengan 8:39.90, manakala Taylor’s College meraih gangsa menerusi catatan 8:41.90.

Hoe Yean menyifatkan saingan SUKIPT sebagai persiapan terbaik menjelang Sukan Asia yang akan berlangsung tidak lama lagi, selain menjadi medan pemilihan ke Sukan Universiti ASEAN (AUG).

“Ini persiapan yang sangat baik untuk Sukan Asia. Kami akan berlepas ke Sukan Asia pada 17 September dan ia akan menjadi bulan yang sangat sibuk.

“Ia juga persiapan yang sangat baik untuk Sukan Universiti ASEAN (AUG) kerana kejohanan ini merupakan pemilihan ke AUG,” katanya ketika ditemui media.

Dalam pada itu, Hoe Yean menganggap kejohanan berkenaan sebagai ruang untuk mengurangkan tekanan sebelum menduduki peperiksaan akhir minggu depan.

Katanya, saingan SUKIPT membolehkannya kekal tenang sambil membahagikan masa antara perlumbaan dengan persediaan menghadapi peperiksaan.

Mengulas baki saingan, Hoe Yean berharap dapat meneruskan momentum positif dan membantu UCSI meraih lebih banyak kejayaan walaupun bakal beraksi dalam acara yang bukan acara utamanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.