UPM cipta rekod baharu, kuartet wanita ungguli 4×400 meter

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 3 September – Kuartet 4×400 meter wanita Universiti Putra Malaysia (UPM) meraih pingat emas sambil mencipta rekod perlawanan baharu pada temasya Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Skuad wanita: Nur Afiqah Sakinah Abdul Halim Ismail, Roshini Karnavel, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizak dan Nurul Aliah Maisarah Nor Azmi.
  • Mencatat masa 3:59.36 sekaligus memadam rekod lama 4:02.10.
  • UPSI beri saingan sengit; catatan perak 3:59.67, gangsa pasukan ketiga 4:20.78.
  • UPM lelaki juga raih emas: Mohammad Ramdhani, Danish Zuhri, Muhammad Aidil Azhar, Ahmad Amir Aiman dengan 3:18.40.

Kuartet yang dibarisi Nur Afiqah Sakinah Abdul Halim Ismail, Roshini Karnavel, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizak dan Nurul Aliah Maisarah Nor Azmi mencatat masa 3 minit 59.36 saat, sekali gus memadam rekod lama 4:02.10 yang turut dilakukan UPM pada edisi 2022.

Nur Afrina menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil usaha seluruh pasukan dalam merealisasikan sasaran ditetapkan.

“Alhamdulillah, pencapaian yang kita buat hari ini berjaya menghasilkan rekod baharu SUKIPT. Terima kasih kepada rakan-rakan yang membantu mendapatkan emas dan rekod masa ini. Insya-Allah, kita akan cuba buat lebih baik pada kejohanan akan datang,” katanya.

Menurutnya, UPSI memberikan saingan sengit, namun sasaran untuk meraih emas mendorong mereka memberikan aksi terbaik. UPSI meraih perak dengan catatan 3:59.67, manakala pasukan tempat ketiga mencatat 4:20.78.

Dalam acara lelaki, UPM turut meraih emas menerusi Mohammad Ramdhani Azani Roslie, Danish Zuhri Dazari, Muhammad Aidil Azhar Azrul Hisyam dan Ahmad Amir Aiman Mohd Kamaruddin dengan catatan 3:18.40.

UPSI meraih perak dengan 3:18.83, manakala Politeknik Malaysia membawa pulang gangsa dengan catatan 3:24.07.

Mohammad Ramdhani berkata kemenangan itu cukup bermakna selepas diberi peluang beraksi di peringkat final.

“Perasaan saya sangat gembira kerana ini kali pertama saya berlari dalam final. Sebelum ini saya biasa beraksi di peringkat separuh akhir, tetapi kali ini coach beri peluang untuk saya berlari di final. Alhamdulillah,” katanya.

Pasukan UPM kini menyasarkan aksi lebih baik pada Grand Final Varsity Track dan Field (VTF) yang dijadual berlangsung pada Oktober ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.