Jonah Chang pecah rekod lontar peluru SUKIPT selepas 14 tahun

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 September – Selepas lebih sedekad bertahan, rekod lontar peluru Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) akhirnya tumbang apabila atlet Universiti Malaya (UM), Jonah Chang mencatat 18.22 meter untuk mencipta rekod baharu pada edisi 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jonah menghasilkan lontaran 17.49 meter pada percubaan kedua sebelum memperbaiki catatan pada percubaan ketiga.
  • Dia berkata pencapaian dicapai dalam keadaan kurang baik, namun bersyukur mampu mengekalkan prestasi dan memecahkan rekod dua kali.
  • Fokus seterusnya ialah Sukan Asia untuk mara ke final, dan Sukan Universiti ASEAN untuk buru pingat serta catatan terbaik peribadi.

Atlet berusia 23 tahun itu memadam rekod 16.33 meter milik atlet Universiti Putra Malaysia (UPM), Adi Aliffuddin Hussin yang dicipta pada 2012, menerusi penampilan sulungnya dalam temasya berkenaan.

Jonah terlebih dahulu menghasilkan lontaran 17.49 meter pada percubaan kedua sebelum memperbaiki catatan itu kepada 18.22 meter pada percubaan ketiga.

Jonah berkata pencapaian itu dicapai dalam keadaan yang kurang baik, namun bersyukur masih mampu mengekalkan prestasi untuk menghasilkan lontaran berkenaan.

“Saya agak gembira kerana keadaan ketika itu kurang baik. Namun, saya sangat bersyukur masih mampu mengekalkan catatan 18.22 meter.

“Walaupun berdepan keadaan yang kurang baik, saya masih berjaya memecahkan rekod itu sebanyak dua kali,” katanya ketika ditemui RTM.

Menurut Jonah, kejayaan itu bukan sesuatu yang terlalu mengejutkan kerana beliau pernah menghasilkan catatan lebih baik ketika sesi latihan, namun tidak meletakkan jangkaan tinggi menjelang pertandingan.

Fokus seterusnya adalah menghadapi Sukan Asia dengan sasaran mara ke final, selain memburu pingat dan catatan terbaik peribadi pada Sukan Universiti ASEAN (AUG).

“Bagi Sukan Asia, fokus saya adalah untuk mara ke final. Manakala untuk AUG, sasaran saya adalah meraih pingat dan mencatat rekod terbaik peribadi,” katanya.

Dalam saingan sama, atlet Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nathaniel Majid meraih tempat kedua dengan catatan 14.79 meter, manakala Kamal Farhan dari UPM menduduki tempat ketiga dengan 14.44 meter.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.