Ab Ghani tawar pendekatan terbuka, profesional jika terajui FAM

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 September – Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan menyatakan kesediaan membawa pendekatan lebih terbuka, profesional dan berteraskan kerjasama sekiranya diberi mandat menerajui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

RINGKASAN BERITA AI
  • Pencalonan beliau dilihat sebagai amanah untuk memperkukuh landskap bola sepak negara, bukan semata mengejar jawatan.
  • Masih terdapat ruang penambahbaikan terutama dari segi tadbir urus, pembangunan, pengurusan pertandingan dan kepentingan semua pihak.
  • Beliau menghormati proses pemilihan dan enggan mengulas perancangan terperinci ketika ini.
  • Pemilihan FAM pada 17 September 2026 menyaksikan 23 calon; persaingan Presiden antara Ab Ghani dan Datuk Seri Shahril Mokhtar.

Beliau berkata pencalonannya bukan semata-mata untuk mengejar jawatan, sebaliknya satu amanah bagi membantu memperkukuh landskap bola sepak negara.

Menurutnya, masih terdapat ruang penambahbaikan terutama dalam aspek tadbir urus, pembangunan bola sepak, pengurusan pertandingan serta memastikan kepentingan semua pihak dalam ekosistem sukan itu terus terpelihara.

“Jika diberi kepercayaan, saya mahu membawa pendekatan yang lebih terbuka, profesional dan berteraskan kerjasama.

“Kita perlu duduk bersama, mendengar pandangan semua pihak dan mencari penyelesaian terbaik untuk masa depan bola sepak negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Datuk Ab Ghani berkata beliau tidak mahu mengulas terlalu jauh mengenai perancangannya ketika ini bagi menghormati proses pemilihan yang sedang berlangsung.

Katanya, ruang perlu diberikan kepada ahli gabungan untuk membuat penilaian serta keputusan mereka sendiri.

Sementara itu, FAM hari ini mengumumkan 23 calon yang disahkan bertanding dalam Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi baki penggal 2025-2029.

Pemilihan itu akan berlangsung sempena Kongres Luar Biasa FAM Kedua 2026 pada 17 September ini.

Datuk Ab Ghani bakal berdepan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar dalam saingan dua penjuru bagi merebut jawatan Presiden.

Tumpuan turut terarah kepada persaingan jawatan Naib Presiden serta Ahli Jawatankuasa Eksekutif bagi kategori persatuan bola sepak negeri (FA) dan kelab (FC).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.